JABATAN PENDIDIKAN NEGERI PERAK DAN CETREE, CGSS, USM & YAYASAN HIJAU MALAYSIA: PERKONGSIAN STRATEGIK DALAM KELESTARIAN ALAM
IPOH, PERAK, 11 Mac 2025 - Satu kunjungan hormat telah diadakan di Pejabat Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN Perak) pada 10 Mac 2025. Kunjungan ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan kerjasama serta menyampaikan penghargaan kepada pihak JPN Perak atas sokongan terhadap Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak.
Delegasi yang hadir diketuai oleh Yang Berusaha Prof. Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei, selaku Penyelaras Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE) merangkap Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), Universiti Sains Malaysia (USM). Turut hadir ialah Puan Nor Hana Mohamad Rosli, Eksekutif Kanan Yayasan Hijau Malaysia (YHM), serta pegawai-pegawai dari Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum), JPN Perak, bersama Sekretariat Organisasi Tunas Hijau.
Dalam pertemuan ini, Pengarah JPN Perak, Yang Berusaha Tuan Safuan Hj Raba’ai, menzahirkan penghargaan atas pemilihan negeri Perak sebagai lokasi pelaksanaan Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III. Beliau turut berkongsi rasa gembira apabila mengetahui bahawa USM turut memainkan peranan utama dalam program ini, lebih-lebih lagi kerana beliau sendiri merupakan alumni USM. Dalam sesi perkongsian bersama delegasi USM dan Yayasan Hijau Malaysia, beliau mengenang kembali pengalaman dan suasana pembelajaran di USM yang dikenali sebagai “universiti dalam taman” kerana persekitarannya yang hijau dan lestari.
Tujuan utama kunjungan ini adalah untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak JPN Perak atas kebenaran dan sokongan yang diberikan kepada CETREE, CGSS, dan USM dalam melaksanakan Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak. Program ini telah melibatkan 125 buah sekolah menengah terpilih dari 12 daerah di Negeri Perak, dengan tempoh pelaksanaan selama dua tahun, bermula Mac 2023 hingga Februari 2025. Program ini memberi fokus kepada pendidikan kelestarian alam sekitar serta meningkatkan kesedaran warga sekolah mengenai kepentingan pengurusan sisa plastik sekali guna.
Dalam sesi pembentangan, Dr. Mohd Sukri Shafie, selaku Ketua Projek Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak, turut merakamkan penghargaan kepada Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum), JPN Perak, yang diketuai oleh Dr. Nor Haslan Nor Zaman atas komitmen 100% yang diberikan dalam menjayakan program ini. Kejayaan program ini dapat dilihat melalui pengiktirafan beberapa sekolah sebagai model terbaik dalam pengurusan sisa plastik sekali guna di sekolah-sekolah negeri Perak. Sebanyak lima sekolah terbaik telah dinobatkan di peringkat negeri, iaitu:
Program ini telah melibatkan seramai 250 orang guru, dengan sasaran peluasan kepada 3,125 orang guru, serta penyertaan 2,250 orang murid yang dijangka berkembang kepada 62,500 orang murid di seluruh negeri Perak. Sepanjang pelaksanaan program ini, beberapa pencapaian utama telah direkodkan, antaranya peningkatan 80% dalam kesedaran warga sekolah mengenai pengurusan sisa plastik sekali guna, penurunan sisa plastik sebanyak 57.6%, serta pengurangan jejak karbon sebanyak 629,973.55 kg CO₂e (atau 629.97 tan CO₂e) dalam tempoh dua tahun.
Di akhir sesi pembentangan, Penyelaras CETREE telah mengemukakan permohonan kepada Pengarah JPN Perak bagi pelanjutan Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III ke siri kedua, yang melibatkan 104 lagi buah sekolah menengah di negeri Perak yang masih belum menyertai program ini. Sebagai tanda penghargaan, sesi kunjungan ini diakhiri dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderahati kepada Pengarah JPN Perak. Diharapkan program ini dapat terus diperluaskan dan diperkasakan dalam usaha membentuk generasi muda yang lebih prihatin terhadap kelestarian alam sekitar di negeri Perak.
Teks / Foto : Syafiq Saifullah Azmi
Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau, (CETREE), CGSS
Aras 5, Perpustakaan Hamzah Sendut, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Centre for Education and Training in Renewable Energy, Energy Efficiency & Green Technology (CETREE), CGSS
Level 5, Hamzah Sendut Library, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Penang, Malaysia
Tel : 604 - 653 6730 / 6707 | Fax : 604 – 6535273 | Email :