CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

KARNIVAL SAINS, TEKNOLOGI, KEJURUTERAAN DAN MATEMATIK (STEM) PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2024

ALOR SETAR, KEDAH, 29 Oktober 2024 - Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang pada 26 hingga 28 Oktober 2024 bertempat di International AlBukhary University, Alor Setar, Kedah. Acara ini berjaya menjadi platform terbaik dalam memupuk minat pelajar terhadap bidang STEM serta memperkasa pemindahan ilmu dalam kalangan generasi muda. Karnival ini telah disertai oleh murid-murid sekolah rendah dan menengah dari 14 negeri di seluruh Malaysia, dengan pelbagai aktiviti menarik dan interaktif yang dirancang bagi memastikan para peserta memperoleh pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan serta bermakna. Sepanjang karnival ini, para pelajar berpeluang meneroka inovasi dan teknologi baharu yang memberi manfaat kepada masyarakat, sejajar dengan agenda pembangunan lestari negara.

Sebagai sebahagian daripada program pemindahan ilmu, CETREE, melalui Unit Pembangunan Bakat Murid-STEM, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, turut memainkan peranan penting dengan membawa Unit Pameran Bergerak Teknologi Hijau. Pameran ini memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai kepentingan tenaga boleh baharu dan teknologi hijau dalam kehidupan seharian.

Salah satu tarikan utama karnival ini ialah sesi ceramah yang disampaikan oleh Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Ng Theam Foo, Pensyarah Kanan dari Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), USM. Beliau berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam bidang kelestarian dan pemeliharaan alam sekitar, sejajar dengan matlamat pembangunan mampan. Selain itu, aktiviti "hands-on" seperti bengkel pembuatan Eco Brick turut menarik perhatian peserta, terutama murid-murid jemputan khas dari sekolah-sekolah di Kedah. Aktiviti ini memberi kesedaran kepada mereka mengenai pengurusan sisa plastik secara inovatif dan mesra alam.

Secara keseluruhannya, Karnival STEM Peringkat Kebangsaan 2024 telah mencapai objektifnya dalam merangsang minat pelajar terhadap STEM serta menyemai kesedaran tentang teknologi hijau dan kelestarian dalam kehidupan seharian. Program ini turut memberi impak positif kepada murid-murid sekolah di seluruh Malaysia dengan meningkatkan pemahaman mereka terhadap STEM serta menggalakkan pemikiran kritis, inovatif, dan berdaya saing. Kejayaan karnival ini tidak akan tercapai tanpa kerjasama semua pihak, termasuk para pendidik, ibu bapa, dan pihak industri yang komited dalam usaha memperkasakan STEM di negara ini. Diharapkan, inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membentuk generasi muda yang celik teknologi serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Sekretariat CETREE

ca1ca1ca1ca1

Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau, (CETREE), CGSS
Aras 5, Perpustakaan Hamzah Sendut, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia

Centre for Education and Training in Renewable Energy, Energy Efficiency & Green Technology (CETREE), CGSS
Level 5, Hamzah Sendut Library, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Penang, Malaysia

Tel : 604 - 653 6730 / 6707 | Fax : 604 – 6535273 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. | icon admin

  • Last Modified: Wednesday 12 March 2025.