CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

PROGRAM CABARAN STEM GROOMING CAMP PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG 2024

BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG, 7 November 2024 - Program Cabaran STEM Grooming Camp Peringkat Negeri Pulau Pinang 2024 telah berlangsung pada 5 dan 6 November 2024 di Pusat Kokurikulum Negeri, Lebuhraya Muhibah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Program ini dianjurkan oleh Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, dengan kerjasama Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM sebagai rakan strategik. Tujuan utama program ini adalah untuk memupuk minat dan meningkatkan pemahaman pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya dalam kalangan pelajar Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 dari sekolah luar bandar. Program ini juga bertujuan untuk memberi inspirasi kepada pelajar agar memilih aliran sains apabila mereka memasuki Tingkatan 4.

Seramai 100 orang pelajar dari sekolah luar bandar telah dipilih untuk menyertai program ini, memberikan mereka peluang merasai pengalaman pembelajaran STEM dalam suasana yang lebih interaktif dan menyeronokkan. Program ini menekankan pembelajaran secara praktikal, yang membantu peserta memahami bagaimana sains diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Dengan pendedahan yang diberikan, peserta dapat melihat potensi kerjaya dalam bidang sains dan teknologi, sekaligus meningkatkan motivasi mereka untuk meneruskan pengajian dalam bidang ini.

Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah Hands-On Havoc Day (Explore Race), yang bertemakan Teknologi Hijau. Dalam cabaran ini, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan perlu menyelesaikan misi di checkpoint yang telah ditetapkan di sekitar Pusat Kokurikulum Negeri. Melalui aktiviti ini, pelajar bukan sahaja dapat mengaplikasikan ilmu sains dan teknologi secara langsung, malah mereka juga diasah untuk berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah serta bekerjasama dalam kumpulan. Aktiviti seperti ini memberikan pengalaman sebenar kepada peserta dalam meneroka konsep STEM dengan lebih mendalam dan praktikal. Selain cabaran berbentuk eksplorasi, peserta turut mengikuti sesi ceramah dan perkongsian ilmu bersama Yang Berusaha Dr. Faizal Baharum, seorang pensyarah dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, USM, yang juga merangkap Pengurus Tugas CETREE. Dalam sesi ini, pelajar diberikan pendedahan mengenai kepentingan STEM dalam pembangunan masa depan, serta bagaimana bidang ini menawarkan pelbagai peluang kerjaya yang menjanjikan. Penceramah juga menekankan kepentingan memilih subjek sains di Tingkatan 4 sebagai asas kepada pelbagai bidang profesional seperti kejuruteraan, perubatan, dan teknologi hijau.

Pada sesi malam, peserta diberikan dorongan dan inspirasi melalui ucapan Yang Berusaha Encik Mohamad Said Ibrahim, Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang. Dalam ucapannya, beliau menekankan keperluan pelajar luar bandar untuk menguasai STEM, agar mereka dapat bersaing dalam dunia global yang semakin berasaskan teknologi. Beliau turut menggalakkan pelajar untuk membuat pilihan bijak dengan mengambil subjek sains di Tingkatan 4, kerana ia membuka lebih banyak peluang dalam bidang akademik dan kerjaya pada masa hadapan.

Program ini diakhiri dengan majlis penutupan yang disempurnakan oleh Yang Berusaha Encik Shamsir Jemain, Ketua Penolong Pengarah, Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang. Dalam ucapan penutupnya, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua peserta yang telah menunjukkan semangat serta komitmen tinggi sepanjang program berlangsung. Beliau juga berharap agar peserta dapat meneruskan minat mereka dalam STEM dan menggunakan ilmu yang diperoleh sepanjang program ini sebagai asas untuk kejayaan akademik mereka, khususnya dalam memilih aliran sains apabila memasuki Tingkatan 4.

Secara keseluruhannya, Program Cabaran STEM Grooming Camp 2024 telah berjaya memberi pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan serta berkesan kepada peserta. Melalui aktiviti kajian lapangan, cabaran berasaskan STEM, dan sesi perkongsian ilmu, peserta bukan sahaja dapat memahami kepentingan sains dalam kehidupan seharian, malah lebih bermotivasi untuk mendalami bidang ini. Dengan pendedahan yang diberikan, diharapkan lebih ramai pelajar luar bandar akan tertarik untuk memilih subjek sains apabila memasuki Tingkatan 4, sekali gus membentuk generasi muda yang berdaya saing dalam bidang sains dan teknologi.

Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Muhammad Amirun Naim Mohd Shaiful Azmir

ca1ca1ca1ca1

Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau, (CETREE), CGSS
Aras 5, Perpustakaan Hamzah Sendut, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia

Centre for Education and Training in Renewable Energy, Energy Efficiency & Green Technology (CETREE), CGSS
Level 5, Hamzah Sendut Library, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Penang, Malaysia

Tel : 604 - 653 6730 / 6707 | Fax : 604 – 6535273 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. | icon admin

  • Last Modified: Wednesday 12 March 2025.