IPOH, PERAK, 10 Disember 2024 - Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak merupakan kesinambungan daripada kejayaan program yang telah dilaksanakan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan Kedah pada Fasa I dan Fasa II. Program ini bertujuan untuk membentuk budaya hijau dalam kalangan warga sekolah dengan fokus utama ke arah sifar penggunaan plastik sekali guna. Ia melibatkan 125 buah sekolah menengah terpilih di negeri Perak dan dilaksanakan selama dua tahun bermula dari tahun 2023 hingga 2024. Program ini merupakan hasil kerjasama antara Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM, dengan sokongan Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum) Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPNP) dan Yayasan Hijau Malaysia (YHM). Matlamat utama program ini adalah untuk memupuk kesedaran dalam kalangan murid dan guru tentang kepentingan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, seterusnya melahirkan generasi yang lebih peka terhadap penjagaan alam sekitar.
Sepanjang program ini dijalankan, seramai 2250 murid dan 250 guru telah terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti yang mempromosikan pengurangan penggunaan plastik. Mereka bertindak sebagai agen perubahan dalam komuniti sekolah masing-masing dengan mengamalkan pendekatan "5R" iaitu Refuse, Reduce, Reuse, Recycle, dan Recover. Melalui usaha ini, sekolah dapat memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi yang prihatin terhadap isu pencemaran plastik. "Montaj Rasmi Majlis Penganugerahan Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak" & " Berita Perak Kini "
Hasil daripada pelaksanaan program ini, jumlah penggunaan plastik di sekolah-sekolah yang terlibat telah menunjukkan penurunan yang ketara. Sebelum program bermula, pembelian plastik dianggarkan bernilai RM2,207,980.75 yang menghasilkan sebanyak 441,596.15 kg (441.6 tan) sisa plastik. Namun, selepas pelaksanaan program selama dua tahun, jumlah ini berjaya dikurangkan kepada RM933,488.70 dengan penghasilan sisa plastik sebanyak 186,697.74 kg (186.7 tan). Ini menunjukkan penurunan sebanyak 57.71% dalam pembelian dan penghasilan sisa plastik. Selain itu, program ini turut memberi impak positif dalam mengurangkan jejak karbon akibat penggunaan plastik. Sebelum program bermula, jejak karbon dianggarkan sebanyak 1,103,990.37 kg CO₂e, namun selepas program, ia berkurangan kepada 466,744.35 kg CO₂e. Ini menunjukkan pengurangan sebanyak 637,246.025 kg CO₂e (637.25 tan). Pengurangan ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari 2030 (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan juga visi Perak Sejahtera 2030. Sekiranya amalan ini diteruskan, dianggarkan pengurangan jejak karbon boleh mencapai sehingga 3,823,476.15 kg CO₂e dalam tempoh enam tahun akan datang.
Keunikan Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak terletak pada penggunaan pendekatan gamifikasi dan penceritaan sains dalam menarik minat murid untuk terlibat secara aktif. Melalui konsep ini, Pasukan Murid Utama berperanan sebagai Ejen Pembasmi Plastik Sekali Guna dan dipantau oleh Komander (Guru Pembimbing) dalam melaksanakan misi bulanan. Pendekatan ini berjaya memupuk semangat kerjasama dan kreativiti dalam kalangan murid serta meningkatkan kesedaran mengenai bahaya pencemaran plastik.
Kemuncak program ini adalah Majlis Penganugerahan Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak yang telah diadakan pada 9 Disember 2024 bertempat di Tower Regency Hotel & Apartment, Ipoh, Perak. Lima buah sekolah telah dipilih sebagai Sekolah Tunas Hijau berdasarkan komitmen dan pencapaian cemerlang sepanjang program berlangsung. SMK St. Michael (AEB2044) telah dinobatkan sebagai Johan keseluruhan program. Tempat kedua dimenangi oleh SMK Perempuan Perak (AEB2051), diikuti oleh SMK Pengkalan Aur (AEA6058) di tempat ketiga, SMK Methodist (AEB3041) di tempat keempat, dan SMK Jati (AEA2062) di tempat kelima. Setiap sekolah menerima mock cheque, plak penghargaan, pingat, dan sijil pencapaian sebagai pengiktirafan atas usaha mereka.
Majlis penganugerahan ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat termasuk Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei, Penyelaras CETREE merangkap Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) USM, Yang Berusaha Encik Zulkafli Mohamed Mokhtar, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Bakat Murid JPN Perak, Yang Berusaha Encik Mohamad Sayuti Abas, Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid JPN Perak, Yang Berusaha Puan Hajah Azarina Alias, Pegawai Pendidikan Daerah Kinta Utara, Yang Berusaha Puan Aaina Karina Mohamed Senawi, Pengurus Kanan Geran Alam Sekitar Yayasan Hasanah, Yang Berusaha Dr. Rafidah Rashid, Ketua Bahagian Pengurusan Projek Yayasan Hijau Malaysia, dan Yang Berusaha Profesor Kehormat Dr. Haslan Abu Hassan selaku Kaunsel Tunas Hijau dan Ketua Panel Pakar Akademik.
Secara keseluruhannya, Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak telah membuktikan keberkesanan usaha pendidikan alam sekitar dalam mengurangkan penggunaan plastik sekali guna di sekolah. Kejayaan program ini diharap dapat menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dan seterusnya menjadi pemangkin kepada usaha negara dalam mencapai kelestarian alam sekitar. Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, malah mendidik generasi muda untuk menjadi pemimpin yang bertanggungjawab terhadap bumi yang kita diami.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Sekretariat CETREE
Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau, (CETREE), CGSS
Aras 5, Perpustakaan Hamzah Sendut, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Centre for Education and Training in Renewable Energy, Energy Efficiency & Green Technology (CETREE), CGSS
Level 5, Hamzah Sendut Library, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Penang, Malaysia
Tel : 604 - 653 6730 / 6707 | Fax : 604 – 6535273 | Email :