KEM ‘SMART ENERGY EDUCATION’ 2017, PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

BUKIT MERTAJAM, 8 Ogos 2017 – Program Kem ‘Smart Energy Education’ 2017 peringkat negeri Pulau Pinang hasil usahasama Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), Universiti Sains Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah berlangsung pada 8 Ogos 2017 bertempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun, Pulau Pinang.

19577109 344862085927559 1142134895276700002 o

Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Puan Hajah Rozainum binti Ahmad, Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia. Majlis perasmian program ini turut diserikan dengan kehadiran Profesor Madya Dr. Mohd Wira bin Mohd Shafiei, Pengarah CETREE, Tuan Ismail bin Said, Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Tuan Haji Sabar bin Hashim, Pegawai Khas Tenaga Nasional Berhad di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Profesor Dr. Haslan bin Abu Hassan, Pengarah Pusat Pemindahan Ilmu, USM dan Encik Koh Kian Choon, Guru Besar SK Tengkera 1, Melaka serta pegawai-pegawai dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Objektif utama Program Kem ‘Smart Energy Education’ 2017 ini adalah bagi meningkatkan pendedahan, pengintegrasian dan pembudayaan amalan penggunaan tenaga dengan bijak dalam kalangan semua warga sekolah termasuk guru, murid, ibu bapa dan masyarakat setempat di samping meningkatkan pemahaman tentang pengurusan permintaan tenaga, kecekapan tenaga dan juga pertumbuhan hijau yang menjadi agenda kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

20901699 344866029260498 8329911498466504916 o

Program ini secara keseluruhannya melibatkan 3 buah negeri di Semenanjung Malaysia merangkumi 75 buah sekolah menengah terpilih di sekitar negeri Pulau Pinang, Selangor & Kelantan dengan penyertaan seramai 300 orang murid dan 75 orang guru. Program berbentuk pertandingan ini dijalankan selama sehari penuh melibatkan pelbagai aktiviti hands on yang interaktif dan pendedahan kepada FROG VLE (Virtual Learning Environment) sebagai medium bantuan pembelajaran. Selain itu, Unit Pameran Bergerak CETREE turut terlibat dalam memberi pendedahan kepada para peserta mempelajari ilmu berkaitan kecekapan tenaga dan mempraktikkan dalam kehidupan seharian.

20818933 344866175927150 5377486534091091142 o

Teks : Nurhanydahanim Abdul Halim/Muhammad Amsyar Muzamuddin

Foto: Mohd Hazwan Abdul Halim

                 KPTbm                                        yahijau