KEM ‘SMART ENERGY EDUCATION’ 2017, PERINGKAT NEGERI SELANGOR

SUNGAI BESAR, 15 Ogos 2017 – Program Kem ‘Smart Energy Education’ 2017 peringkat negeri Selangor hasil usahasama Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), Universiti Sains Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah berlangsung pada 14 Ogos 2017 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Rahah, Sungai Besar, Selangor.

20786015 344832609263840 8441660108061549187 o

Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Tuan Shashim Shah bin Harun, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Selangor. Majlis perasmian program ini turut diserikan dengan kehadiran Profesor Madya Dr. Mohd Wira bin Mohd Shafiei, Pengarah CETREE, Tuan Haji Sabar bin Hashim, Pegawai Khas Tenaga Nasional Berhad di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Profesor Dr. Haslan bin Abu Hassan, Pengarah Pusat Pemindahan Ilmu, USM dan Encik Koh Kian Choon, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tengkera 1, Melaka serta pegawai-pegawai dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).


Objektif utama Program Kem ‘Smart Energy Education’ 2017 ini adalah bagi meningkatkan pendedahan, pengintegrasian dan pembudayaan amalan penggunaan tenaga dengan bijak dalam kalangan semua warga sekolah termasuk guru, murid, ibu bapa dan masyarakat setempat di samping meningkatkan pemahaman tentang pengurusan permintaan tenaga, kecekapan tenaga dan juga pertumbuhan hijau yang menjadi agenda kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

20819049 344826225931145 699986396626624290 o

Program ini secara keseluruhannya melibatkan 3 buah negeri di Semenanjung Malaysia merangkumi 75 buah sekolah menengah terpilih di sekitar negeri Pulau Pinang, Selangor & Kelantan dengan penyertaan seramai 300 orang murid dan 75 orang guru. Program berbentuk pertandingan ini dijalankan selama sehari penuh melibatkan pelbagai aktiviti hands on yang interaktif dan pendedahan kepada FROG VLE (Virtual Learning Environment) sebagai medium bantuan pembelajaran. Selain itu, Unit Pameran Bergerak CETREE turut terlibat dalam memberi pendedahan kepada para peserta mempelajari ilmu berkaitan kecekapan tenaga dan mempraktikkan dalam kehidupan seharian.

20861738 344839322596502 789231494703554566 o

Di akhir majlis penutupan, majlis diserikan dengan sesi persetujuan kerjasama di antara CETREE dan SMKA Tun Rahah menerusi jalinan pintar dalam meningkatkan pengetahuan tentang pendidikan Teknologi Hijau di kalangan murid, guru dan masyarakat yang dilakukan melalui tandatangan yang disaksikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Selangor.


Teks : Nurhanydahanim Abdul Halim/Muhammad Amsyar Muzamuddin/
Foto: Mohd Hazwan Abdul Halim

                 KPTbm                                        yahijau