Sejarah CETREE
Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau atau di dalam Bahasa Inggeris disebut sebagai Centre For Education and Training in Renewable Energy, Energy Efficiency & Green Technology (CETREE) telah mula beroperasi pada 2 Oktober 2000 dan telah dilancarkan oleh mantan Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Yang Berbahagia Tan Sri Leo Moggie pada 29 Julai 2002.
Cadangan penubuhan CETREE adalah daripada hasil perbincangan dan kerjasama serta projek antara kerajaan Malaysia bersama kerajaan Denmark di dalam bidang tenaga diperbaharui yang bermula seawal tahun 90-an. Hasil daripada kerjasama ini, ia telah dipersetujui oleh kedua-dua kerajaan bahawasanya perlu diwujudkan sebuah pusat yang dapat memberi pendidikan dan latihan serta penyelidikan selain memainkan peranan utama di dalam meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai peranan Tenaga Boleh Baharu dan Kecekapan Tenaga kepada golongan profesional, sekolah, institusi pengajian tinggi dan orang awam di Malaysia.
Hasil daripada persetujuan ini, Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) (sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi - KTAK) dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri telah menandatangani perjanjian bersama dengan kerajaan Denmark (melalui Danish Cooperation for Environment and Development - DANCED). Melalui perjanjian ini, Universiti Sains Malaysia (USM) dilantik sebagai badan yang melaksanakan aktiviti CETREE selain menawarkan ruang pejabat, fasiliti latihan dan kakitangan yang pakar mengikut kepakaran tertentu. Selain itu, kerajaan Denmark juga memberi peruntukan pembiayaan kewangan melalui geran bagi pelaksanaan aktiviti-aktiviti CETREE selama 30 bulan, bermula Oktober 2000 sehingga tahun 2003. Penambahan pembiayaan kewangan bagi setahun lagi telah dipersetujui oleh kerajaan Denmark yang dilanjut sehingga Mac 2004.
Bermula pada April 2004 sehingga kini pembiayaan kewangan bagi aktiviti CETREE telah disalurkan oleh kerajaan Malaysia melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Selain itu, usul penubuhan pusat CETREE peringkat kebangsaan juga disebut dalam plan Rancangan Malaysia Ke Lapan seperti tercatat dalam BAB 11 (TENAGA) bahagian 11.37 pada mukasurat 342 (rujuk Lampiran B). Usaha murni ini mendapat sokongan yang padu daripada pegawai-pegawai kerajaan, ahli akademik dan para penyelidik.
Sehingga kini, CETREE telah berjaya melaksanakan pelbagai aktiviti membabitkan Tenaga Boleh Baharu (TBB), Kecekapan Tenaga (KT) dan Teknologi Hijau. Antaranya adalah pelaksanakan TBB dan KT di peringkat sekolah menengah dan rendah, meningkatkan kesedaran awam melalui media massa, pertandingan, pameran dan sebagainya. Selain itu, CETREE juga mempunyai sebuah lori dan sebuah bas yang dipanggil unit pameran bergerak. Keunikan dan keistimewaan kedua-dua kenderaan ini adalah melibatkan 2 kelebihan iaitu menggunakan 100% minyak masak terpakai/baru sebagai bahan api bagi pergerakkan kenderaan tersebut, manakala terdapat perkakasan elektrik seperti sebuah rumah mini bergerak yang memuatkan peralatan canggih serta perkakasan ‘hands on’ bersesuaian dengan keadaan semasa dibekalkan kuasa elektrik melalui penjanaan daripada kuasa suria.