Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

KE ARAH 2027 LESTARI : PEMURNIAN MODUL SEKOLAH TUNAS HIJAU FASA III - PERAK (SIRI 2)

TAIPING, PERAK, 7 Mei 2025 – Satu Bengkel Pemurnian Modul Program Sekolah Tunas Fasa III - Perak (Siri 2): Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna Dalam Kalangan Warga Sekolah telah berjaya dilaksanakan secara bersemuka di Taiping, Perak. Bengkel ini bertujuan memantapkan lagi pelaksanaan program melalui penambahbaikan modul secara menyeluruh, melibatkan aspek teknikal dan pendekatan pelaksanaan yang lebih berkesan.

Sesi pertemuan secara fizikal ini memberi peluang kepada ahli Jawatankuasa Teknikal Induk Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III - Perak (Siri 2) untuk berkongsi pelbagai idea baharu serta input konstruktif demi memperkukuh struktur pelaksanaan program. Program yang disasarkan berlangsung selama dua tahun ini mengekalkan pendekatan utama melalui pertandingan berkonsepkan penceritaan sains sebagai wadah penyampaian dan pendidikan kepada pelajar. Kaedah ini dilihat berpotensi besar untuk menyampaikan mesej kesedaran secara kreatif dan berkesan.

Antara perbincangan utama dalam bengkel ini termasuklah penetapan tarikh pelaksanaan tugasan serta misi yang perlu diselesaikan oleh sekolah-sekolah terlibat mengikut garis panduan program. Fokus diberikan terhadap penjadualan aktiviti agar selari dengan objektif program ke arah pengurangan penggunaan plastik sekali guna dalam kalangan warga sekolah.

Turut hadir menjayakan bengkel ini ialah Puan Nor Hana Mohamad Rosli, Eksekutif Kanan Yayasan Hijau Malaysia, Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Penyelidik Kanan CETREE, CGSS, Universiti Sains Malaysia (USM), Encik Zuherly Zolkapali, Penolong Pengarah, Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah yang juga Panel Pakar Program; serta barisan sekretariat Jawatankuasa Teknikal Induk Program.

CETREE, CGSS, USM selaku pelaksana utama bersama pihak penaja seperti Yayasan Hasanah, Yayasan Hijau Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak menyatakan harapan agar sebanyak 103 buah Sekolah Menengah Harian dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Negeri Perak yang terlibat dalam Program Sekolah Tunas Fasa III - Perak (Siri 2): Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna Dalam Kalangan Warga Sekolah dapat merealisasikan misi utama program ini. Usaha ini dijangka mampu melahirkan generasi murid-murid yang mengamalkan gaya hidup hijau serta bebas plastik secara berterusan demi masa depan bumi yang lebih lestari menjelang tahun 2027.