KUNJUNGAN HORMAT CETREE, CGSS, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA BERSAMA BAHAGIAN SUKAN, KOKURIKULUM DAN KESENIAN (BSKK)
PUTRAJAYA, 7 Mac 2022 - Satu kunjungan hormat antara Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM dan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) telah diadakan di Putrajaya baru-baru ini. Kunjungan yang diadakan itu adalah bertujuan untuk mencari idea-idea baru dalam bidang STEM dan Teknologi Hijau di samping mengeratkan hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak.
Kehadiran pihak CETREE telah dialu-alukan oleh pihak BSKK kerana dengan adanya kunjungan ini perancangan aktiviti-aktiviti kokurikulum murid-murid sekolah pasca Covid-19 di seluruh negara dapat dibina. Dalam kunjungan tersebut, Penyelaras CETREE, CGSS, USM, Profesor Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei telah berkongsi maklumat berkaitan jalinan kerjasama CETREE bersama KPM dalam menyebarkan kesedaran mengenai Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan Kecekepan Tenaga (KT) kepada seluruh masyarakat khususnya murid-murid sekolah. Penganjuran aktiviti seperti Karnival Sains dan Teknologi (KaSTEK) dan Karnival Inovasi Teknologi Hijau (KITH) yang dijalankan harus dibanggakan kerana ia telah dapat memberi maklum balas dan impak dalam melahirkan murid yang celik ilmu sains, berinovasi serta membuka peluang kepada sekolah-sekolah luar bandar.
Selain daripada itu, Pengarah BSKK, Dr. Latip Muhammad telah berucap mengenai perkongsian maklumat berkaitan perkembangan aktiviti kokurikulum sekolah menengah dan rendah dalam pasca Covid-19. Beliau berkata kini saranan program maya (online) lebih diutamakan oleh kerajaan. Namun demikian, beliau berhasrat menjalankan program bersama CETREE jika pihak kerajaan membenarkan program secara bersemuka semula. Perkara ini adalah kerana beliau bimbang murid-murid akan ketinggalan dalam aspek pembelajaran dan pengetahuan khususnya dalam bidang sains jika keadaan gejala Covid-19 berterusan.
Dr. Latip juga berkata segala aktiviti yang dirancang untuk dilaksanakan mestilah mencukupi dan selari dengan mata pelajaran yang dipelajari di sekolah. Aktiviti dan modul yang akan dibina nanti perlulah mampu melahirkan murid-murid yang berdaya keusahawanan serta dapat memberi impak yang besar dan bukan hanya sekadar ‘one-off’ sahaja. Dalam pada itu, beliau juga menyuarakan supaya Dr. Faizulizami Osmin, Ketua Penolong Pengarah, Unit Pembangunan dan Kecemerlangan Kokurikulum, BSKK untuk melihat keterlibatan semua sekolah-sekolah di Malaysia supaya diberi peluang menyertai aktiviti yang bakal dilaksanakan.
Di akhir kunjungan hormat ini turut hadir di dalam sesi adalah Dr. Mohd Sukri Shafie dan Encik Syafiq Saifullah Azmi daripada CETREE, CGSS, USM. Jalinan kerjasama, pertukaran pandangan dan idea telah menampakkan hasilnya kepada kedua-dua pihak. Sesi penyampaian cenderahati dan bergambar seterusnya menjadi acara penutup bagi kunjungan hormat tersebut.
Teks/Foto : Syafiq Saifullah Azmi