BENGKEL KARNIVAL INOVASI TEKNOLOGI HIJAU PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2016
BAYAN LEPAS, 30 Jun 2016 – Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau (CETREE>) telah mengadakan satu bengkel bersama Pegawai Unit Kokurikulum dari semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pegawai Kanan dari BiotechCorp, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkaitan Program Kesedaran Teknologi Hijau bertempat di Hotel Vistana, Pulau Pinang. Objektif utama bengkel ini diadakan adalah untuk memberi penerangan dan membincangkan pelaksanaan Karnival Inovasi Teknologi Hijau serta program-program lain yang memerlukan bantuan dan kerjasama pegawai setiap JPN yang terlibat.
Bengkel yang berlangsung selama dua hari, telah mendapat maklumbalas yang positif dan amat menggalakkan daripada Pegawai Unit Kokurikulum dari semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta berharap usaha murni dengan kerjasama bersama CETREE> dapat dicapai dengan jayanya. Antara pengisian bengkel ialah ucapan aluan daripada Profesor Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei, Pengarah CETREE>, taklimat berkaitan program CETREE> daripada Tuan Hj. Badrol Hisham Mohd Nowani, Pengurus Operasi & Strategik CETREE> serta taklimat umum berkenaan Karnival Inovasi Teknologi Hijau daripada wakil Pegawai Unit Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang.
Selain itu, satu sesi pembentangan kertas konsep bagi setiap kategori pertandingan telah dibentangkan oleh wakil penggubal kertas konsep kepada semua wakil Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang terlibat dalam bajet tersebut. Terdapat tujuh (7) kategori pertandingan yang telah dibentangkan iaitu Green Cooker Challenge, Inovasi Tenaga Biojisim, Green Technology Show, Rekacipta Inovasi Teknologi HIjau, Kuiz Teknologi Hijau & Xplorace, Rekabentuk Bandar Teknologi Hijau dan Solar Vehicle Challenge. Terdapat beberapa penambahbaikan serta input – input berguna yang telah dikongsi oleh pegawai JPN bagi kertas konsep yang telah dibentangkan dan keseluruhannya bersetuju dengan pelaksanaan Karnival Inovasi Teknologi Hijau yang bakal diadakan pada bulan Oktober 2016 nanti