BENGKEL MEMPERKASA ILMU GURU PAKAR DALAM PEMBANGUNAN MODUL SEKOLAH MENENGAH TEKNOLOGI HIJAU MERENTASI KURIKULUM DAN KOKURIKULUM
GEORGETOWN, 6 Ogos 2015 - CETREE>, Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Yayasan Hijau (YaHijau) Malaysia serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengadakan satu Bengkel Memperkasa Ilmu Guru Pakar Dalam Pembangunan Modul Sekolah Menengah Teknologi Hijau Merentasi Kurikulum Dan Kokurikulum. Bengkel ini bertujuan memberi pendedahan dengan lebih lanjut berkenaan sektor Teknologi Hijau kepada guru-guru bagi penghasilan modul Teknologi Hijau sekolah menengah seterusnya menganalisis kurikulum berkaitan Teknologi Hijau yang boleh disesuaikan dengan lima mata pelajaran iaitu Sains, Biologi, Kimia, Fizik dan Kemahiran Teknikal.
Bengkel ini dijalankan di Hotel NEO+, Georgetown, P.Pinang selama 3 hari 2 malam bermalam. Antara aktiviti - aktiviti yang dilaksanakan sepanjang perlaksanaan bengkel adalah ceramah pendedahan berkaitan sektor – sektor dalam Teknologi Hijau, perbincangan pemetaan analisis kurikulum, perbincangan membina contoh tajuk mata pelajaran dengan penerapan Teknologi Hijau dan perbincangan serta soal jawab bersama pakar – pakar Teknologi Hijau yang hadir.
Bengkel tersebut diserikan lagi dengan kehadiran pakar – pakar dalam sektor yang terdapat dalam Teknologi Hijau bagi menyampaikan dan berkongsi ilmu kepada guru – guru pakar yang terpilih mengikut mata pelajaran yang telah ditetapkan. Mereka terdiri daripada Penyelaras Pembangunan Modul Sekolah Menengah Teknologi HIjau, Prof. Madya Dr. Hashimah Mohd Yunus, Profesor Dr. Haslan Abu Hassan (Tenaga Boleh Baharu), Profesor Ir.Dr.Hj Md Azlin Md Said (Air), Prof.Madya Dr. Soib Taib (Pengangkutan), Prof.Madya Dr. Mohd Suffian Yusoff (Pengurusan Sisa Pepejal), Prof.Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafie (Bangunan Hijau), Dr. Mardiana Idayu Ahmad (Kecekapan Tenaga) dan Mohd Yusri Jusoh (ICT).