BENGKEL PELARASAN PROJEK TEKNOLOGI HIJAU SEKOLAH MENENGAH 2019 - PENGANJURAN KARNIVAL INOVASI TEKNOLOGI HIJAU PERINGKAT KEBANGSAAN
KOTA KINABALU, 2 Februari 2019 – Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE) dengan kerjasama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha meningkatkan pengetahuan dan kesedaran Teknologi Hijau dalam kalangan warga sekolah melalui “ Projek Pembangunan Ilmu, Implementasi dan Aktiviti Kesedaran Teknologi Hijau Sekolah Menengah Merentasi Kurikulum dan Kokurikulum Bagi Pemantapan Pendidikan Lestari ”.
Sehubungan dengan itu, satu bengkel Pelarasan Projek Teknologi Hijau Sekolah Menengah 2019 - penganjuran Karnival Inovasi Teknologi Hijau Peringkat Kebangsaan telah dilaksanakan dengan jayanya yang berlangsung pada 31 Januari – 1 Februari 2019 bertempat di Ming Garden Hotel & Residences, Kota Kinabalu, Sabah. Bengkel ini dihadiri oleh pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Negeri seluruh negara, pegawai daripada Yayasan Hijau Malaysia dan pegawai daripada Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Bengkel ini dirancang untuk menghimpunkan semua pihak yang terlibat di dalam Karnival Inovasi Teknologi Hijau (KITH) 2018 sama ada daripada kalangan penggubal pertandingan, kalangan teknikal dan juga hakim bagi menilai dan melihat semula beberapa kekurangan dan kelebihan daripada semua pertandingan yang telah diadakan tahun 2018 di Pulai Springs Resort, Johor. Antara pertandingan yang telah diadakan adalah seperti Rekacipta Inovasi Teknologi Hijau, Inovasi Tenaga Biojisim, Rekabentuk Bandar Teknologi Hijau, Green Cooker Challenge, Solar Vehicle Challenge dan Xplorace & Kuiz Teknologi Hijau.
Objektif utama bengkel adalah membincangkan isu-isu berkaitan sepanjang pelaksanaan KITH 2018, membincangkan penambahbaikan KITH 2018 dan persediaan untuk pelaksanaan KITH tahun 2019. Bengkel ini, diserikan lagi dengan kehadiran Prof. Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei, Pengarah CETREE bagi memantau pelaksanaan bengkel dan memberi komen-komen yang membina dalam persediaan KITH 2019 sepanjang pelaksanaan bengkel tersebut. Pelbagai maklum balas positif daripada peserta bengkel dan penambahbaikkan telah dilakukan ke atas semasa bengkel dilaksanakan sepanjang 2 hari 1 malam sebagai input terbaru bagi postmortem untuk kegunaan KITH 2019.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Mohd Hazwan Abdul Halim