BENGKEL TRAINING OF TRAINER (TOT) JURULATIH UTAMA (JU) MODUL TEKNOLOGI HIJAU (TH) SEKOLAH MENENGAH PERINGKAT NEGERI JOHOR
Batu Pahat, Johor, 26 April 2019 – Negeri Johor adalah negeri ketiga dalam kalendar siri Bengkel Training of Trainers (ToT) 2019 dan yang ke-21 sehingga siri ke-23 telah diadakan Bengkel Training of Trainers (ToT) Jurulatih Utama (JU) Modul Teknologi Hijau (TH) Sekolah Menengah.
Tiga siri bengkel yang berbeza lokasi telah dijalankan dengan melibatkan pecahan daerah seperti Mersing, Kulai, Johor Bharu, Pontian, Batu Pahat, Pasir Gudang, Kota Tinggi, Muar, Segamat, Kluang dan Tangkak.
Bengkel ini merupakan kesinambungan daripada bengkel ToT Jurulatih Utama Pakar (JUP) peringkat kebangsaan. Pecahan kepada 3 siri bengkel berkenaan telah berlangsung bermula 14 – 23 April 2019 bertempat di negeri Johor yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor. Bengkel siri pertama dan kedua telah dijalankan di daerah Gelang Patah manakala daerah Batu Pahat pula telah terpilih menjadi lokasi bengkel siri ketiga.
Para JU yang hadir merupakan guru-guru yang mewakili sekolah-sekolah terpilih di seluruh negeri Johor. Bengkel siri pertama telah mencatat kehadiran seramai 82 orang JU, 80 orang JU telah hadir bagi siri kedua manakala bengkel siri ketiga pula dihadiri oleh 91 orang JU. Selain itu, seramai lapan orang penulis daripada mata pelajaran Biologi, Sains, Fizik dan Kimia juga turut hadir dalam bengkel ini.
Kaedah pelaksanaan bengkel adalah sama seperti negeri-negeri lain iaitu melibatkan pelaksanaan aktiviti mengikut sistem pusingan serta para JU perlu menjalankan kesemua lima aktiviti yang telah dipilih berdasarkan modul TH. Ia bertujuan bertujuan untuk membolehkan para JU mencuba lebih banyak aktiviti secara hands on. Pelaksanaan bengkel, dimulakan dengan taklimat berkaitan Teknologi Hijau (TH) yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Mohd Wira bin Mohd Shafiei, Pengarah CETREE kemudian diikuti dengan taklimat berkaitan penggunaan Modul TH dan pelaksanaan bengkel oleh Profesor Madya Dr. Hashimah binti Mohd Yunus selaku Pensyarah Kehormat Universiti Sains Malaysia merangkap Timbalan Pengarah CETREE.
Taklimat ini bertujuan untuk memberikan gambaran yang jelas kepada para JU tentang tujuan pelaksanaan aktiviti bengkel ini.Menurut Profesor Madya Dr. Mohd Wira, tenaga tidak boleh baharu tidak dapat diganti dengan cepat setelah habis digunakan kerana sumber fosil ini mengambil masa beratus juta tahun untuk dihasilkan. Mengenai kesedaran dan kecekapan tenaga pula, masyarakat di Malaysia perlu mengetahui istilahnya iaitu menggunakan tenaga elektrik yang kurang untuk menyempurnakan kerja yang setimpal kerana ianya dapat mengurangkan kesan pemanasan global dan fenomena perubahan iklim dunia kini.
Terdahulu, Puan Salina binti Hussain, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor dalam ucapan aluannya, menzahirkan rasa terharu dan besar hati di atas komitmen tinggi dan sumbangan besar yang diberikan oleh pihak CETREE dan pihak Sektor Pengurusan Akademik, Unit Sains, JPN Johor umumnya serta guru-guru yang hadir dengan mengorbankan masa dan berpenat lelah demi mendidik serta memajukan anak-anak bangsa di negeri Johor dan juga masyarakat umum pada masa hadapan dalam bidang TH. Hal ini dapat dilihat daripada siri bengkel yang berlangsung selama 3 hari 2 malam tersebut. Puan Salina dalam ucapannya turut menyuarakan hasrat untuk melihat guru-guru di negeri Johor mengambil peluang untuk lebih mendalami ilmu berkaitan Teknologi Hijau supaya dapat menjalankan tugas sebagai pendidik kepada anak-anak di negeri Johor di sekolah masing-masing kelak.
Turut hadir pada majlis perasmian penutup bagi siri bengkel negeri Johor ialah Tuan Haji Amiruddin bin Abd Manaf, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sains dan Matematik, Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, YM Ungku Khairul Azelina binti Ungku Musa, Penolong Pengarah Sains (Menengah Rendah), Sektor Pengurusan Akademik, JPN Johor, Encik Junit bin Yasir, Penolong Pengarah Sains, Sektor Pengurusan Akademik, JPN Johor, pegawai-pegawai JPN Johor dan pegawai-pegawai Yayasan Hijau Malaysia. Sesi bergambar dengan para JU sebagai kenang-kenangan menjadi acara terakhir bagi penutup setiap bengkel.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Sekretariat CETREE