BENGKEL TRAINING OF TRAINER (TOT) JURULATIH UTAMA (JU) MODUL TEKNOLOGI HIJAU (TH) SEKOLAH MENENGAH PERINGKAT NEGERI KEDAH DAN PERLIS
SUNGAI PETANI, KEDAH, 12 Februari 2018 - Bengkel Training Of Trainers (TOT) Jurulatih Utama (JU) Modul Teknologi Hijau (TH) Sekolah Menengah peringkat negeri Kedah dan Perlis yang dianjurkan oleh Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau) dengan kerjasama Pusat Pendidikan Dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga Dan Teknologi Hijau (CETREE) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merupakan lanjutan daripada bengkel TOT Jurulatih Utama Pakar (JUP) peringkat kebangsaan.
Bengkel ini adalah gabungan dua siri bengkel yang dilaksanakan secara berturut-turut di Hotel Swiss Inn Sungai Petani, Kedah. Siri pertama telah berlangsung pada 4 hingga 6 Februari 2018 bagi JU negeri Kedah manakala seri kedua pula berlangsung pada 6 hingga 8 Februari 2018 yang menggabungkan JU dari negeri Kedah dan Perlis. JU yang hadir merupakan guru-guru yang mewakili sekolah-sekolah yang terpilih di seluruh negeri Kedah dan Perlis. Pada siri pertama seramai 99 JU telah hadir manakala bengkel siri kedua pula dihadiri oleh 97 orang JU. Selain itu, seramai lapan orang penulis daripada mata pelajaran Biologi, Sains, Fizik dan Kimia turut hadir dalam bengkel ini.
Kaedah pelaksanaan bengkel pada peringkat negeri adalah sedikit berbeza dengan pelaksanaan bengkel peringkat kebangsaan. Para peserta JU perlu melakukan aktiviti mengikut sistem pusingan dan perlu menjalankan sebanyak lima aktiviti yang telah dipilih berdasarkan modul TH. Kaedah ini bertujuan untuk membolehkan para JU mencuba lebih banyak aktiviti secara hands on berbanding hanya satu aktiviti sahaja yang dapat dilakukan pada peringkat kebangsaan.
Sebelum pelaksanaan bengkel, para peserta bengkel JU diberikan taklimat mengenai TH oleh Profesor Madya Dr. Mohd Wira Bin Mohd Shafiei, Pengarah CETREE. JU juga turut diberikan taklimat mengenai penggunaan Modul TH dan pelaksanaan bengkel oleh Profesor Madya Dr. Hashimah Binti Mohd Yunus selaku Timbalan Pengarah CETREE. Taklimat ini bertujuan untuk memberi gambaran yang jelas kepada para JU tentang tujuan pelaksanaan aktiviti bengkel ini.
Pada akhir bengkel, wakil peserta JU daripada mata pelajaran masing-masing perlu membentangkan laporan dan rumusan bagi kesemua aktiviti hands on yang telah dilaksanakan. Pembentangan ini bertujuan untuk memberikan penerangan secara terperinci kepada JU mata pelajaran lain supaya mereka dapat memahami setiap aplikasi TH dalam kempat-empat mata pelajaran dan dapat melaksanakannya di sekolah masing-masing. Majlis Penutupan Bengkel TOT JU Modul TH Sekolah Menengah peringkat negeri Kedah dan Perlis telah dirasmikan oleh Encik Abd Aziz Salaiman, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.
Teks : Khairunnisa Ismail ( Pelajar Internship PP Komunikasi USM)
Foto : Sekretariat CETREE