BENGKEL TRAINING OF TRAINER (TOT) JURULATIH UTAMA (JU) MODUL TEKNOLOGI HIJAU (TH) SEKOLAH MENENGAH PERINGKAT NEGERI KELANTAN
KOTA BHARU, KELANTAN, 2 Mac 2018 – Negeri Kelantan merupakan negeri keempat yang telah diadakan Bengkel Training Of Trainers (TOT) Jurulatih Utama (JU) Modul Teknologi Hijau (TH) Sekolah Menengah. Kali ini negeri Kelantan dijalankan dengan 2 siri bengkel yang berbeza dengan melibatkan pecahan jajahan seperti Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah, Kuala Krai, Gua Musang, Bachok, Tumpat, Machang dan Jeli.
Bengkel ini merupakan daripada lanjutan bengkel TOT Jurulatih Utama Pakar (JUP) peringkat kebangsaan. Gabungan 2 siri bengkel yang telah berlangsung bermula 25 Februari sehingga 1 Mac 2018 bertempat di Kota Bharu, Kelantan. JU yang hadir merupakan guru-guru yang mewakili sekolah-sekolah yang terpilih di seluruh negeri Kelantan. Pada siri pertama seramai 62 JU telah hadir manakala bengkel siri kedua pula dihadiri oleh 69 orang JU. Selain itu, seramai lapan orang penulis daripada mata pelajaran Biologi, Sains, Fizik dan Kimia turut hadir dalam bengkel ini. Kaedah pelaksanaan bengkel adalah sama seperti negeri-negeri lain terlibat dengan melakukan aktiviti mengikut sistem pusingan dan perlu menjalankan sebanyak lima aktiviti yang telah dipilih berdasarkan modul TH. Ia bertujuan bertujuan untuk membolehkan para JU mencuba lebih banyak aktiviti secara hand’s on.
Pelaksanaan bengkel, dimulakan dengan taklimat berkaitan Teknologi Hijau (TH) yang disampaikan oleh Profesor Dr. Haslan bin Abu Hassan, Pengarah Pusat Pemindahan Ilmu (KTP) merangkap Penasihat CETREE dan diikuti dengan taklimat berkaitan penggunaan Modul TH dan pelaksanaan bengkel oleh Profesor Madya Dr. Hashimah Binti Mohd Yunus selaku Timbalan Pengarah CETREE. Taklimat ini bertujuan bagi memberikan gambaran yang jelas kepada para JU tentang tujuan pelaksanaan aktiviti bengkel ini.
“Turut berkongsi maklumat berkaitan sektor – sektor Teknologi Hijau yang di utamakan dan di gunapakai oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dalam sebaran perkongsian maklumat kepada seluruh masyarakat di Negara Malaysia. Contohnya seperti Sektor Tenaga, Sektor Sisa Pepejal, Sektor Air, Sektor Pengangkutan, Sektor ICT, Sektor Pembuatan dan Sektor Perhutanan, ” tambah Profesor Dr. Haslan.
Profesor Madya Dr. Hashimah melalui taklimatnya telah menekankan akan penggunaan Modul Teknologi Hijau dan pelaksanaan bengkel sebagai salah satu maklumat yang paling penting utama seperti penyampaian dan pemindahan ilmu kepada Pengetua dan seluruh warga sekolah berkaitan penerapan dan nilai-nilai murni berkaitan Teknologi Hijau merentasi Kurikulum di sekolah dan menjadi budaya serta amalan kepada generasi muda pada masa akan datang.
Sementara itu juga, Profesor Dr. Haslan bin Abu Hassan berkata beliau amat gembira kerana berdasarkan pengalaman beliau bekerja bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) komitmen yang ditunjukkan oleh guru-guru di negeri Kelantan amat memberangsangkan walaupun hampir 60 % guru-guru yang terlibat dalam bengkel ini menjangkau usia 50-an namun ia tidak sama sekali mencacatkan keadaan. Ini kerana kesungguhan dan minat yang diberikan amat tinggi. Ia dapat di lihat dalam bengkel yang berlangsung selama 3 hari 2 malam yang telah diadakan ini.
Kehadiran Tuan Muhammad Zahari bin Othman, Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan ternyata menaikkan semangat seluruh peserta-peserta yang terlibat secara langsung untuk menyebarkan modul Teknologi Hijau Sekolah Menengah kepada sekolah-sekolah masing untuk terus komited mengamalkan budaya yang bersifat kehijauan sekaligus membantu kerajaan mencorakkan dan mencapai sasaran agar pelajar-pelajar di seluruh negeri Kelantan pada tahun 2020 dapat merealisasikannya kefahaman berkaitan Teknologi Hijau dalam mata pelajaran Biologi, Sains, Fizik dan Kimia. Tuan Pengarah JPN Kelantan dalam ucapannya turut menyuarakan hasrat untuk melihat guru-guru di negeri Kelantan mengambil peluang dan rasa penuh bersyukur kerana diberikan peluang mengetahui tentang ilmu yang berkaitan Teknologi Hijau seterusnya mewujudkan rasa lebih gembira dan lebih berinovasi dan kreatif dalam kalangan guru-guru dan seluruh warga di setiap sekolah masing-masing.
Turut hadir adalah Tuan Haji Sepian bin Nor, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Tuan Haji Wan Mohd Zuri bin Wan Abdullah, Ketua Penolong Pengarah (Sains) Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan Tuan Haji Badrol Hisham bin Mohd Nowani, Yayasan Hijau Malaysia. Majlis Penutupan Bengkel TOT JU Modul TH Sekolah Menengah peringkat negeri Kelantan telah dirasmikan oleh Tuan Muhammad Zahari bin Othman, Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Sekretariat CETREE