BENGKEL TRAINING OF TRAINER (TOT) JURULATIH UTAMA (JU) MODUL TEKNOLOGI HIJAU (TH) SEKOLAH MENENGAH PERINGKAT NEGERI SABAH DAN WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN
Sandakan, Sabah, 22 Mac 2019 – Jelajah Bengkel Training of Trainers (ToT) Modul Teknologi Hijau (TH) Jurulatih Utama (JU) Sekolah Menengah diteruskan lagi bagi siri ke-16 hingga siri ke-18 yang mana melibatkan para Jurulatih Utama (JU) dari negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Tiga siri bengkel yang berbeza telah diadakan dengan melibatkan pecahan daerah dari Kunak, Lahad Datu, Semporna, Tawau, Beaufort, Keningau, Kota Belud, Kota Kinabalu, Kota Marudu, Kuala Penyu, Kudat, Papar, Pensiangan, Penampang, Sipitang, Tambunan,Tenom, Tuaran, Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Telupid, Ranau, Pitas dan Wilayah Persekutuan Labuan. Siri bengkel ini telah dilaksanakan secara berturut-turut dengan pemilihan 3 lokasi daerah yang berbeza iaitudi Tawau, Kota Kinabalu dan Sandakan.
Siri pertama telah berlangsung pada 5 hingga 7 Mac 2019, siri kedua pula berlangsung pada 13 hingga 15 Mac 2019 manakala siri ketiga berlangsung pada 19 hingga 21 Mac 2019 melibatkan JU dari 25 buah daerah di negeri Sabah termasuk negeri Wilayah Persekutuan Labuan. JU yang hadir merupakan guru-guru yang mewakili sekolah-sekolah yang terpilih di seluruh negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Siri pertama mencatatkan kehadiran seramai 38 orang JU manakala 106 orang JU pula telah menghadiri siri kedua dan bagi bengkel siri ketiga seramai 46 orang JU telah menghadirkan diri dalam siri bengkel tersebut. Selain itu, seramai 9 orang penulis daripada mata pelajaran Biologi, Sains, Fizik dan Kimia turut hadir dalam bengkel tersebut.
Taklimat pelaksanaan bengkel dan modul TH telah disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Hashimah binti Mohd Yunus selaku Pensyarah Kehormat Universiti Sains Malaysia merangkap Timbalan Pengarah CETREE manakala taklimat berkaitan pengenalan Teknologi Hijau bagi siri pertama disampaikan oleh Profesor Dr. Haslan bin Abu Hassan, Pengarah Pusat Pemindahan Ilmu(KTP), Universiti Sains Malaysia. Seterusnya bagi siri kedua dan ketiga taklimat berkaitan pengenalan Teknologi Hijau di sampaikan oleh Profesor Madya Dr. Mohd Wira bin Mohd Shafiei, Pengarah CETREE.
Terdahulu, Profesor Madya Dr. Hashimah, dalam ucapannya memperingati para JU bahawa apa yang dilakukan pada hari ini akan memberi kesan yang besar kepada generasi akan datang. Oleh itu, beliau menasihatkan agar para guru dapat mengambil serius hal ini dan memulakan initiatif untuk menyebarluaskan ilmu TH ini kepada rakan-rakan sekerja dan anak-anak murid di sekolah. Turut berkongsi maklumat berkaitan TH ialah Pengarah KTP, USM yang menjelaskan kepada para JU kepentingan dan tujuan bengkel ini dilaksanakan. Antara isu yang dibangkitkan adalah pemanasan global, perubahan iklim, peningkatan penduduk dunia serta impak-impak yang bakal terjadi kepada dunia pada masa akan datang. Antara impak yang paling besar ialah kenaikan paras air laut pada 2100 yang akan menjejaskan negara seperti Bangladesh.
Pengarah CETREE juga turut sama berkongsi ilmu bagi menerangkan tentang misi Malaysia untuk mengurangkan perlepasan gas karbon dioksida melalui perjanjian The Paris Climate Agreement (COP21) agar pada masa akan datang peningkatan suhu yang dijangka akan meningkat sebanyak 4°C dapat dikurangkan dibawah paras 2°C. Turut hadir pada majlis perasmian penutup ialah Encik Sabdani bin Batang, Penolong Pengarah Unit Sains, Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Puan Ang Bee Uan, Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan dan Tuan Haji Badrol Hisham bin Mohd Nowani, Puan Nor Hana binti Mohamad Rosli, Puan Wan Nurul Zhana binti Mohd Hanizan, Pegawai Yayasan Hijau Malaysia.
Majlis perasmian penutupan Bengkel ToT JU Modul TH Sekolah Menengah peringkat negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi setiap siri telah disempurnakan oleh Puan Siti Aisyah binti Sahdan selaku Penolong Pengarah Unit Sains Tulen, Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Encik Kasdi bin Kamin, Penolong Pengarah Unit Sains Menengah, BPK, KPM. Sesi bergambar dengan para JU sebagai kenang-kenangan menjadi acara terakhir bagi penutup setiap bengkel.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Sekretariat CETREE