BENGKEL TRAINING OF TRAINER (TOT) JURULATIH UTAMA (JU) MODUL TEKNOLOGI HIJAU (TH) SEKOLAH MENENGAH PERINGKAT NEGERI SEMBILAN
Ayer Keroh, Melaka, 29 April 2019 – Jelajah Bengkel Training of Trainers (ToT) Modul Teknologi Hijau (TH) Jurulatih Utama (JU) Sekolah Menengah diteruskan lagi bagi siri ke- 24 yang melibatkan para Jurulatih Utama (JU) dari Negeri Sembilan. Terdapat kelainan pada bengkel kali ini kerana ia dijalankan diluar kawasan Negeri Sembilan iaitu di negeri Melaka. Pecahan daerah guru-guru JU yang terlibat adalah dari Jelebu,Jempol, Kuala Pilah, Port Dickson, Rembau, Seremban dan Tampin.
Bengkel ini merupakan lanjutan daripada bengkel TOT Jurulatih Utama Pakar (JUP) peringkat kebangsaan. Siri bengkel ke-24 ini telah berlangsung bermula 24-26 April 2019 bertempat di Ayer Keroh, Melaka. JU yang hadir merupakan guru-guru yang mewakili sekolah-sekolah yang terpilih di seluruh Negeri Sembilan. Seramai 90 orang JU telah hadir ke bengkel tersebut serta seramai 8 orang penulis daripada mata pelajaran Biologi, Sains, Fizik dan Kimia turut sama hadir dalam bengkel ini. Hal ini bagi memudahkan urusan dan sesi soal jawab dilakukan dengan lebih berkesan lagi sepanjang bengkel tersebut dijalankan.
Kaedah pelaksanaan bengkel adalah sama seperti negeri-negeri sebelumnya dimana aktiviti dilakukan mengikut sistem pusingan. Para JU perlu menjalankan sebanyak lima aktiviti yang telah dipilih berdasarkan modul TH yang bertujuan untuk memberi peluang para JU untuk mencuba lebih banyak aktiviti secara hands on.
Pelaksanaan bengkel dimulakan dengan taklimat berkaitan Teknologi Hijau (TH) yang disampaikan oleh Profesor Dr. Haslan bin Abu Hassan, Pengarah Pusat Pemindahan Ilmu (KTP) merangkap Penasihat CETREE. Dalam sesi perkongsian bermakna tersebut, beliau turut berkongsi maklumat berkaitan sektor-sektor Teknologi Hijau yang diberi penekanan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC). Sektor-sektor berkenaan merangkumi Sektor Tenaga, Sektor Sisa Pepejal, Sektor Air, Sektor Pengangkutan, Sektor ICT, Sektor Pembuatan dan Sektor Perhutanan. Tambahnya lagi, “ MESTECC telah berusaha mendidik rakyat Malaysia mengenai Teknologi Hijau menerusi perkongsian maklumat dan kesedaran terhadap elemen-elemen Teknologi Hijau dalam sektor-sektor berkenaan.
Sesi taklimat seterusnya mengenai penggunaan Modul TH dan pelaksanaan bengkel telah disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Hashimah binti Mohd Yunus selaku Pensyarah Kehormat Universiti Sains Malaysia merangkap Timbalan Pengarah CETREE. Menerusi taklimat berkenaan, beliau menekankan mengenai aplikasi Modul TH yang bakal digunapakai sebagai rujukan utama Teknologi Hijau pada silibus buku teks Sekolah Menengah akan datang. Menurutnya, para JU perlu menyedari betapa pentingnya penyampaian dan pemindahan ilmu yang dipelajari di bengkel ini untuk disebarluaskan kepada Pengetua dan seluruh warga sekolah. Hal ini kerana bengkel sebegini bermatlamat untuk membudayakan amalan dan penerapan nilai-nilai murni berkaitan TH agar dapat merentasi kurikulum kearah pembentukan amalan hijau dalam kalangan warga sekolah.
Setelah selesai sesi bengkel berkenaan, Profesor Dr. Haslan bin Abu Hassan menyatakan beliau amat gembira dengan komitmen memberangsangkan yang ditunjukkan oleh guru-guru di Negeri Sembilan walaupun hampir 90 % guru-guru yang terlibat dalam bengkel ini perlu meninggalkan keluarga dan berhijrah jauh daripada kawasan rumah serta sekolah mereka namun ia tidak sama sekali mencacatkan keadaan. Hal ini kerana para JU mempamerkan kesungguhan dan minat yang amat tinggi terhadap aktiviti yang dijalankan selama 3 hari 2 malam tersebut.
Kehadiran Encik Mohd Fadzil bin Jamil, Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan ternyata menaikkan semangat seluruh peserta-peserta yang terlibat secara langsung dalam penyebaran modul Teknologi Hijau Sekolah Menengah kepada sekolah masing – masing. Beliau mengharapkan para JU terus komited mengamalkan budaya TH sekaligus membantu aspirasi kerajaan mencapai sasaran agar para pelajar di seluruh Negeri Sembilan pada tahun 2020 dapat merealisasikan kefahaman berkaitan Teknologi Hijau dalam mata pelajaran Biologi, Sains, Fizik dan Kimia. Encik Mohd Fadzil dalam ucapannya juga turut menyuarakan hasrat untuk melihat guru-guru di Negeri Sembilan mengambil peluang berharga ini mengetahui dengan lebih mendalam, lebih berinovasi dan kreatif dalam penyebaran amalan hijau dalam kalangan warga sekolah.
Turut sama hadir sewaktu majlis perasmian penutup ialah pegawai-pegawai daripada Pejabat Pelajaran Daerah Jelebu/Jempol, Kuala Pilah, Port Dickson, Tampin dan Rembau serta Puan Dini Fajrina binti Mohd Hussain, Pegawai Yayasan Hijau Malaysia. Sesi bergambar dengan para JU sebagai kenang-kenangan menjadi acara terakhir bagi Majlis Perasmian Penutupan Bengkel TOT JU Modul TH Sekolah Menengah peringkat Negeri Sembilan.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Sekretariat CETREE