BENGKEL TRAINING OF TRAINER (TOT) JURULATIH UTAMA PAKAR (JUP) KEBANGSAAN MODUL TEKNOLOGI HIJAU (TH) SEKOLAH MENENGAH
TANJUNG BUNGAH, PULAU PINANG, 29 Januari 2018 - Bengkel Training Of Trainers (TOT) Jurulatih Utama Pakar (JUP) Modul Teknologi Hijau (TH) Sekolah Menengah 2018 telah diadakan pada 23-25 Februari 2018 di Hotel Copthorne Orchid, Tanjung Bungah, Pulau Pinang. Seramai 200 orang termasuk penulis modul, Pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan guru-guru pakar sekolah menengah seluruh Malaysia telah hadir bagi menjayakan bengkel ini.
Bengkel JUP peringkat kebangsaan merupakan bengkel anjuran Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau) dengan kerjasama Pusat Pendidikan Dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga Dan Teknologi Hijau (CETREE) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk melatih 2500 Jurulatih Utama (JU) sekolah menengah di Malaysia dan memindahkan ilmu kepada murid dalam pelaksanaan Teknologi Hijau (TH) merentasi kurikulum sejajar dengan kepentingan mewujudkan kesedaran dan memupuk aplikasi TH dalam kehidupan seharian.
Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta bengkel JUP diberikan taklimat mengenai penggunaan Modul TH dan pelaksanaan bengkel oleh Profesor Madya Dr. Hashimah Binti Mohd Yunus selaku Timbalan Pengarah CETREE dibantu oleh 19 orang penulis Modul bagi empat mata pelajaran iaitu Sains, Fizik, Kimia dan Biologi. Peserta juga turut diberikan taklimat berkaitan Bahan Bantu Mengajar yang telah siap dibina merangkumi lapan bahan iaitu enam poster TH dan dua permainan cabaran tenaga. Jumlah keseluruhan aktiviti yang dijalankan adalah sebanyak 34 aktiviti. Bagi mata pelajaran Sains Sebanyak 12 aktiviti dijalankan, mata pelajaran Biologi pula sebanyak 14 aktiviti, manakala mata pelajaran Kimia dan Fizik masing-masing sebanyak 9 aktiviti.
Lanjutan daripada Bengkel ini, sebanyak 25 siri bengkel peringkat negeri akan dilaksanakan bagi latihan Jurulatih Utama (JU) melibatkan lebih kurang 2500 peserta mewakili sekolah menengah di seluruh Negara. Bengkel ini akan dijalankan secara berperingkat bermula pada bulan Februari sehingga bulan Ogos 2018. Datin Badriyah Hj. Abd. Malek Timbalan Ketua Setiausaha, (Tenaga & Teknologi Hijau) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) selaku jemputan khas hadir bagi merasmikan majlis penutupan Bengkel TOT JUP Modul TH Sekolah Menengah 2018 pada hari terakhir bengkel.
Turut hadir Encik Amin Abdullah Ketua Pegawai Eksekutif YaHijau, Puan Rogayah Kadari Setiausaha Bahagian Kanan, Sektor Teknologi Hijau KeTTHA, Profesor Madya Dr. Mohd Wira Bin Mohd Shafiei, Pengarah CETREE, Encik Kasdi Kamin wakil Pegawai Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), KPM dan Encik Asdirhyme Bin Abdul Rasib Setiausaha Bahagian Regulatori dan Pembangunan Industri Teknologi Hijau KeTTHA.
Teks : Khairunnisa Ismail ( Pelajar Internship PP Komunikasi USM)
Foto : Sekretariat CETREE