Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

BERTEKAD MEMENANGI PROGRAM SEKOLAH TUNAS HIJAU FASA III PERAK - SIRI 2: SMK BUNTONG, PERAK SASAR JOHAN 2026

IPOH, 15 Oktober 2025 – Aspirasi tinggi untuk menjuarai Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2) (PSTHF3-Siri 2) bagi edisi tahun 2026 menjadi pemangkin utama kepada penganjuran Kempen Kesedaran Alam Sekitar di SMK Buntong, Ipoh, hari ini. Majlis pelancaran yang bermula tepat jam 1.00 petang berlangsung dengan penuh semangat patriotik melalui nyanyian lagu kebangsaan “Negaraku” dan lagu negeri Perak, sebagai simbol komitmen seluruh warga sekolah terhadap misi kelestarian yang digerakkan.

Komitmen ini diterajui oleh pasukan Tunas Hijau SMK Buntong yang terdiri daripada dua orang Guru Pembimbing (Komander), Puan Choong Peit Chun dan Puan Noorartina binti Md Nayan, bersama 18 orang murid yang beriltizam menjayakan pelbagai inisiatif hijau di bawah program berkenaan. Dalam majlis tersebut, Yang Berusaha Puan Nor Hana Mohamad Rosli, Eksekutif Kanan Yayasan Hijau Malaysia, turut menyampaikan ucapan penghargaan atas dedikasi dan kesungguhan SMK Buntong, khususnya atas kejayaan sekolah meraih tempat ketiga dalam penyertaan terdahulu. Beliau menegaskan bahawa kelestarian bukan sekadar aktiviti sementara, tetapi satu amalan hidup yang perlu disemai secara berterusan, kerana ia akan menentukan kelangsungan generasi pada masa hadapan. Puan Nor Hana turut menyatakan harapan agar SMK Buntong terus memperkukuh usaha hijau ini sebagai identiti dan budaya utama sekolah, sekaligus menjadi model rujukan bagi sekolah-sekolah lain di negeri Perak.

Sementara itu, Pengetua SMK Buntong, Yang Berusaha Encik M. Abu Bakar Ns Mohamed Sariff, menegaskan bahawa penyertaan sekolah dalam Program Sekolah Tunas Hijau bukan sekadar untuk bersaing, tetapi merupakan strategi komprehensif untuk membina sebuah sekolah hijau yang sejati dan berdaya lestari. “Menjaga bumi adalah tanggungjawab yang berterusan. Setiap warga sekolah perlu memainkan peranan mereka dengan kesedaran dan tindakan,” ujar beliau dengan penuh keyakinan. Menurutnya, kejayaan menempatkan sekolah di tempat ketiga pada penyertaan sulung menjadi dorongan kuat untuk menggapai gelaran Johan dalam edisi akan datang.

Sebagai langkah awal ke arah matlamat tersebut, sekolah melancarkan Kempen Sifar Plastik, yang memberi penekanan kepada pengharaman penggunaan straw plastik serta pengurangan bahan plastik di bilik darjah. Setiap kelas bertanggungjawab merekodkan data penggunaan plastik bagi tujuan pemantauan dan penambahbaikan berterusan. Dasar Hijau Sekolah turut memberi tumpuan kepada prinsip “No Plastik”, amalan guna semula bahan, dan galakan membawa bekas makanan serta minuman sendiri. Strategi utama yang digariskan oleh Tuan Pengetua ialah konsep “terus buat” — menekankan tindakan segera dan berterusan tanpa menunggu arahan atau kempen baharu.

Inisiatif ini turut menerima sokongan padu daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang bukan sahaja menyumbang dari segi kewangan, malah turut berganding bahu dalam mendidik pelajar mengamalkan gaya hidup lestari di rumah dan di sekolah. PIBG menegaskan bahawa usaha memelihara bumi adalah tanggungjawab bersama seluruh komuniti pendidikan. Di bawah kepimpinan Encik Abu Bakar, pihak sekolah optimis bahawa melalui kerjasama erat antara guru, pelajar dan komuniti setempat, SMK Buntong mampu mencapai impian untuk meraih gelaran Johan PSTHF3-Siri 2 pada tahun hadapan.

Majlis tersebut turut diserikan dengan penyampaian hadiah penghargaan kepada SMK Buntong atas kejayaan meraih tempat ketiga, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen tinggi sekolah dalam menjayakan agenda kelestarian. Turut hadir ialah delegasi Organisasi Tunas Hijau, terdiri daripada Cik Suhairiza Suhaimi dan Cik Farah Amira Zainudin (Eksekutif PSTHF3-Siri 2), bersama Encik Mohd Rodzi Abd Razak dan Encik Ahmad Ammar Zakaria dari Sekretariat CETREE, CGSS, Universiti Sains Malaysia (USM).

Teks / Foto : Ahmad Ammar Zakaria