CETREE BAWA PENDIDIKAN TENAGA DAN KELESTARIAN KE PENTAS PAGAMO MALAYSIA PERINGKAT KEBANGSAAN (ZON SELATAN) KE-6 TAHUN 2026
MUAR, JOHOR , 13 September 2026 – Apabila pendidikan kelestarian digabungkan dengan permainan, teknologi dan pengalaman pembelajaran secara langsung, ilmu bukan lagi sekadar untuk difahami, tetapi turut diterokai dan diaplikasikan. Pendekatan inilah yang diketengahkan melalui kerjasama Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE) serta Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), Universiti Sains Malaysia (USM) dalam Kejohanan USM CGSS x Tzu Chi PaGamO Pendidikan Kelestarian Peringkat Kebangsaan (Zon Selatan) Tahun 2026. Kejohanan Akhir Kebangsaan USM CGSS x Tzu Chi PaGamO Malaysia Ke-6, yang menghimpunkan hampir 665 peserta dari lapan negeri dan zon di dua lokasi pertandingan, iaitu Kampar, Perak dan Muar, Johor. Penglibatan CETREE dan CGSS bukan sahaja menyokong penganjuran kejohanan, malah memperluas ruang pembelajaran peserta melalui pendedahan kepada isu alam sekitar, tenaga, kecekapan tenaga dan teknologi hijau dalam suasana yang lebih interaktif serta dekat dengan generasi muda.
Kejohanan yang berlangsung pada 12 September 2026 secara serentak di dua lokasi, iaitu Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampar, Perak bagi kawasan Tengah dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa, Muar, Johor bagi kawasan Selatan, menghimpunkan peserta yang telah berjaya melepasi peringkat negeri untuk bersaing di peringkat kebangsaan. Penganjuran kali ini turut mengintegrasikan pengetahuan berkaitan alam sekitar dan kesiapsiagaan bencana dalam suasana pembelajaran berasaskan permainan, sekali gus menjadikan proses pembelajaran lebih dinamik, menyeronokkan dan mudah didekati oleh generasi muda.
Di lokasi pertandingan di Muar, Johor, Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik Kanan CETREE, CGSS, USM, hadir sebagai tetamu kehormat dan menyampaikan ucapan bagi mewakili CETREE dan CGSS, USM sempena majlis perasmian. Penglibatan beliau mencerminkan komitmen berterusan CETREE dan CGSS dalam memperluas pendidikan kelestarian kepada masyarakat, khususnya dalam meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan penggunaan tenaga secara cekap, bertanggungjawab dan lestari. Turut hadir ialah Encik Chee Keng Hiang, Pengerusi Lembaga Pengarah Chung Hwa High School; Encik Chiong Cheong Kang, Pengetua Chung Hwa High School; Puan Loh Siew Cheng, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Tzu Chi Melaka; serta Puan Soh Swee Choo, Pengerusi Yayasan Tzu Chi Muar.
Sementara itu, di lokasi pertandingan di Kampar, Perak, Dato’ Choo Beng Kai, Pengasas dan Pengerusi Masmeyer Foundation serta Justice of the Peace, hadir sebagai perasmi bagi kawasan Tengah Semenanjung Utara dan turut menyampaikan ucapan kepada para peserta serta tetamu yang hadir. Dalam majlis yang sama, Profesor Madya Dr. Ng Theam Foo, Timbalan Pengarah CGSS, USM, turut menyampaikan ucapan kepada para peserta dan tetamu yang hadir, yang menekankan kepentingan pendekatan pembelajaran kreatif dalam membentuk generasi muda yang lebih peka terhadap isu alam sekitar, kelestarian dan tanggungjawab terhadap sumber semula jadi.
Penglibatan kepimpinan CGSS di kedua-dua lokasi pertandingan memperlihatkan sokongan berterusan USM terhadap usaha memperkasa pendidikan alam sekitar menerusi pendekatan yang lebih inovatif, interaktif dan bersesuaian dengan perkembangan generasi muda. Penglibatan Profesor Madya Dr. Ng Theam Foo dalam program PaGamO juga meneruskan komitmen beliau dalam menyokong penganjuran program berasaskan pendidikan kelestarian di peringkat negeri sebelum ini, sekali gus memperkukuh kesinambungan kerjasama antara USM dan rakan strategik dalam memperluas agenda pendidikan alam sekitar.
Turut hadir di lokasi pertandingan Kampar ialah Encik Siow Eik Kwang, wakil Pertubuhan Buddhist Tzu Chi Merits Malaysia merangkap wakil PaGamO; Profesor Dr. Au Yong Hui Nee, Dekan Fakulti Perniagaan dan Kewangan The Hong Piow, UTAR, mewakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UTAR; Puan Lee Bee Choo, wakil Green Educators’ Workgroup Penang (GREW); Dr. Janaka Low Chee Kong, Pengetua Kolej ViTrox; serta Encik Ting Chee Heng, Pengerusi Pertubuhan Buddhist Tzu Chi Merits Malaysia (Cawangan Perak).
Selain penglibatan dalam acara rasmi, CETREE turut diberikan kepercayaan untuk berkongsi pengetahuan berkaitan kelestarian menerusi Unit Pameran Bergerak CETREE di lokasi pertandingan di Muar. Kehadiran unit pameran ini memberi peluang kepada peserta, guru dan pengunjung mendapatkan pendedahan secara langsung mengenai tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga dan teknologi hijau melalui demonstrasi serta bahan pameran yang bersifat visual dan interaktif. Unit Pameran Bergerak CETREE yang menggunakan sebuah lori bergerak turut mengetengahkan aplikasi teknologi tenaga alternatif dengan memanfaatkan tenaga solar sebagai sumber kuasa bagi peralatan pameran, selain menggunakan minyak sayuran sebagai sumber bahan api untuk pergerakan kenderaan. Keunikan tersebut bukan sahaja menjadi tarikan kepada para peserta, malah memberikan gambaran praktikal tentang bagaimana sumber tenaga alternatif boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian, sekali gus menjadikan teknologi hijau lebih dekat dan mudah difahami oleh masyarakat.
Pendekatan melalui demonstrasi dan penerangan secara langsung ini membantu menterjemahkan konsep yang lazimnya dipelajari secara teori kepada pengalaman pembelajaran yang lebih nyata dan bermakna. Peserta bukan sahaja diperkenalkan kepada sumber tenaga alternatif, malah turut didedahkan kepada kepentingan membuat pilihan yang lebih bijak, cekap tenaga dan bertanggungjawab dalam kehidupan seharian.
Penglibatan CETREE, CGSS dalam Kejohanan USM CGSS x Tzu Chi PaGamO Pendidikan Kelestarian Peringkat Kebangsaan (Zon Selatan) Tahun 2026 melengkapkan pendekatan pertandingan yang menggabungkan permainan digital, teknologi, pendidikan alam sekitar dan pengalaman pembelajaran secara langsung. Pendekatan bersepadu ini menjadikan pendidikan kelestarian bukan sekadar penyampaian maklumat, sebaliknya diterjemahkan melalui pengalaman, interaksi dan aplikasi yang mampu meningkatkan kefahaman peserta terhadap isu alam sekitar, tenaga dan kelestarian. Pengalaman CETREE dalam melaksanakan pameran pendidikan berkaitan alam sekitar dan teknologi hijau turut memperlihatkan bahawa pendekatan pembelajaran secara visual, demonstrasi dan interaktif mampu memperkayakan pengalaman peserta serta menjadikan konsep kelestarian lebih mudah difahami dan relevan dengan kehidupan seharian. Melalui penyertaan aktif dalam program seperti PaGamO, CETREE terus memainkan peranan dalam menyampaikan ilmu berkaitan kelestarian, tenaga dan alam sekitar kepada masyarakat, bukan sahaja untuk meningkatkan pengetahuan, malah menggalakkan peserta menghubungkan ilmu yang diperoleh dengan amalan seharian yang lebih cekap, berhemah dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Kejohanan USM CGSS x Tzu Chi PaGamO Pendidikan Kelestarian Peringkat Kebangsaan (Zon Selatan) Ke-6 turut diserikan dengan kehadiran YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Malaysia merangkap Ahli Parlimen Ledang, selaku perasmi perasmian penutup. Dalam ucapan perasmian, beliau menyentuh kepentingan memperkukuh pendidikan alam sekitar dan kelestarian dalam kalangan generasi muda agar kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar dapat dipupuk sejak di bangku sekolah. Kehadiran beliau turut memberikan nilai tambah kepada penganjuran PaGamO sebagai sebuah platform yang menggabungkan elemen pendidikan, permainan dan kesedaran alam sekitar dalam usaha membentuk generasi yang lebih memahami cabaran kelestarian pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, penglibatan CETRE, CGSS dalam Kejohanan Akhir Kebangsaan USM CGSS x Tzu Chi PaGamO Malaysia Ke-6 memperlihatkan bagaimana pendidikan kelestarian dapat disampaikan melalui pelbagai medium, daripada permainan digital dan pertandingan kepada demonstrasi teknologi hijau serta interaksi secara bersemuka. Pendekatan bersepadu ini bukan sahaja menjadikan pembelajaran lebih menarik dan bermakna, malah membantu membina generasi yang lebih berpengetahuan, peka terhadap isu alam sekitar serta bersedia mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap dan lestari, selaras dengan usaha berterusan USM melalui CETREE, CGSS dalam memperluas pendidikan kelestarian serta membudayakan amalan yang menyokong pembangunan masa hadapan yang lebih hijau dan bertanggungjawab.
SDGs: 4, 7, 13 & 17
Teks : Ashween Sonia Sani Murugesan / Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Sekretariat CETREE