Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

CETREE, CGSS, USM BAWA MESEJ KELESTARIAN TENAGA MELALUI BJIM USM KE KOMUNITI MANJUNG

MANJUNG, PERAK, 26 Oktober 2025 – Karnival JUMP-STEM telah berlangsung dengan jayanya hasil kerjasama antara Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Sekolah Kebangsaan Muhammad Saman, Manjung, Perak. Program ini bertujuan untuk mempromosikan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan warga sekolah serta memperkukuh penglibatan komuniti setempat terhadap bidang tersebut. Program selama dua hari yang diadakan pada 24 hingga 25 Oktober 2025 ini dijalankan di beberapa lokasi terpilih, antaranya Sekolah Kebangsaan Muhammad Saman, Manjung sebagai lokasi utama, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Islahiah Addiniah, Manjung, dan Pasar Malam Pasir Panjang, Perak.

Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM turut diberikan kepercayaan oleh BJIM untuk bersama-sama menjayakan karnival ini dengan memberi fokus kepada kesedaran mengenai Tenaga dan Teknologi Hijau. Kehadiran sekretariat CETREE bukan sahaja memperkaya pengisian program, malah memberi peluang pembelajaran secara langsung di luar bilik darjah kepada para pelajar. Melalui aktiviti interaktif dan demonstrasi yang dijalankan, peserta berpeluang meningkatkan kefahaman serta minat terhadap bidang tenaga, kelestarian dan STEM. Sekretariat CETREE yang diketuai oleh Cik Suhairiza Suhaimi, Pegawai Program, bersama lima orang sekretariat, turut membantu menjayakan pameran dan aktiviti pendidikan sepanjang karnival berlangsung.

Karnival JUMP-STEM ini telah berjaya mewujudkan ruang interaksi secara langsung antara warga sekolah, komuniti, dan para akademik dari pelbagai pusat pengajian USM yang hadir menyampaikan ilmu serta berkongsi kepakaran masing-masing sepanjang dua hari penganjuran. Antara aktiviti yang berlangsung sepanjang berada di Manjung Adalah seperti aktiviti STEM dan perkongsian ilmu melalui motivasi kaunseling serta hala tuju kerjaya selepas tamat persekolahan (Sijil Peperiksaan Malaysia) oleh Yang Berusaha Dr. Syed Mohamad Syed Abdullah bersama Yang Berusaha Dr. Nurul Fazzuan Khalid.

Turut hadir bagi memeriahkan dan menjayakan karnival ini ialah Yang Berbahagia Dato’ Haji Rashidi Ibrahim, Pegawai Tugas-Tugas Khas (PTTK), Pejabat Menteri, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Yang Dihormati Profesor Dr. Azlan Amran, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, USM serta Yang Berusaha Tuan Haji Mohd Noor Rashid Kamaridi, Timbalan Pejabat Pendidikan Daerah (Perancangan), Pejabat Pendidikan Daerah Larut Matang dan Selama, Perak.

Program diakhiri dengan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat di atas komitmen dan kerjasama yang diberikan serta sesi bergambar kenangan bersama para tetamu, guru, pelajar dan komuniti setempat.

Teks : Ahmad Ammar Zakaria / Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Sekretariat CETREE