Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

CETREE, CGSS USM MEMACU PENDIDIKAN TENAGA BOLEH BAHARU DAN KECEKAPAN TENAGA MELALUI PEMBELAJARAN INTERAKTIF

UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (USM), PULAU PINANG, 9 Oktober 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh komitmennya terhadap agenda kelestarian global menerusi penganjuran Program Perkongsian Ilmu dan Fun Explorace Teknologi Hijau anjuran Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM. Program yang berlangsung di Bangunan TORAY, USM ini menghimpunkan hampir 25 orang pelajar antarabangsa daripada kumpulan The International Apprenticeship Programme, Tilting Futures: Take Action Lab (Malaysia), TALMY yang berasal dari Brazil, Ethiopia, Ghana, Kenya, Mesir dan Pakistan.

Program ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran peserta terhadap isu kelestarian global, khususnya berkaitan mitigasi perubahan iklim, tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga dan aplikasi teknologi hijau. Melalui gabungan sesi perkongsian ilmu dan aktiviti pembelajaran interaktif, program ini menyediakan ruang pembelajaran yang mengintegrasikan pemahaman teori dengan pengalaman praktikal.

Sesi perkongsian ilmu disampaikan oleh Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik Kanan CETREE, CGSS, USM, yang membincangkan isu mitigasi perubahan iklim serta cabaran kelestarian global. Antara perkara yang diketengahkan termasuklah senario perubahan iklim, kelestarian bumi, perkembangan revolusi perindustrian, pelepasan gas rumah hijau mengikut sektor dan unjuran peningkatan suhu global menjelang tahun 2100.

Perbincangan turut merangkumi pemanasan global, Perjanjian Paris yang dimeterai pada Persidangan Pihak-Pihak ke-21 (COP21), peranan teknologi hijau dan Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC), serta hubungan antara penggunaan tenaga dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). Penekanan juga diberikan kepada strategi meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga, mengurangkan pembaziran dan kehilangan tenaga, serta meminimumkan pelepasan karbon dengan mengambil kira aspek teknikal dan ekonomi.

Melengkapi sesi tersebut, dua orang pelajar antarabangsa Tilting Futures di bawah seliaan CETREE, CGSS, USM, iaitu Cik Njoroge Thandiwe Wambui dari Kenya dan Cik Bai Khushi dari Pakistan, turut berkongsi pengetahuan tentang strategi penggunaan tenaga elektrik secara cekap serta kaedah pengiraan kos penggunaan elektrik. Perkongsian ini memberi nilai tambah kepada program melalui pertukaran ilmu sesama peserta, di samping meningkatkan pemahaman tentang kepentingan pengurusan tenaga yang cekap dan penjimatan kos dalam kehidupan seharian.

Sesi perkongsian berlangsung dalam suasana interaktif dengan penglibatan aktif para peserta yang mengemukakan soalan dan berkongsi pandangan. Pendekatan ini bukan sahaja memperkaya perbincangan, malah menggalakkan pemikiran kritis serta meningkatkan pemahaman peserta terhadap kepentingan amalan kelestarian dalam kehidupan seharian.

Program diteruskan dengan aktiviti Fun Explorace Teknologi Hijau yang dikendalikan oleh Encik Syafiq Saifullah Azmi bersama sekretariat CETREE, CGSS, USM selama tiga jam. Aktiviti yang berteraskan pembelajaran melalui pengalaman (experiential learning) ini dirangka untuk memberi peluang kepada peserta meneroka konsep tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga dan teknologi hijau melalui permainan interaktif serta aktiviti amali (hands-on).

Dua orang pelajar Tilting Futures tersebut turut memainkan peranan sebagai fasilitator bagi membantu memastikan kelancaran pelaksanaan aktiviti. Pendekatan pembelajaran secara interaktif ini membolehkan peserta mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh melalui penyertaan secara langsung, sekali gus menjadikan pengalaman pembelajaran lebih menarik, dinamik dan bermakna.

Secara keseluruhannya, penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan CETREE, CGSS, USM dalam memperkasa pendidikan kelestarian melalui pendekatan pembelajaran yang inovatif, interaktif dan berorientasikan aplikasi. Gabungan perkongsian ilmu dengan pengalaman praktikal bukan sahaja memperluas pengetahuan peserta antarabangsa, malah memperkukuh pemahaman mereka tentang kepentingan kecekapan tenaga dan penerapan teknologi hijau dalam usaha menangani cabaran perubahan iklim.

Inisiatif ini turut membuka ruang kepada pengukuhan jaringan perkongsian ilmu dan kerjasama antarabangsa dalam bidang kelestarian. Melalui pendekatan pendidikan yang menggabungkan pengetahuan, pengalaman dan penglibatan aktif, USM terus menyumbang kepada usaha membentuk generasi yang berilmu, berfikiran kritis dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar, selaras dengan aspirasi pembangunan masa depan yang lebih lestari.

Teks : Syafiq Saifullah Azmi 
Foto : Sekretariat CETREE