CETREE TINGKAT KESEDARAN TEKNOLOGI HIJAU
HASAN Rahman (tiga dari kiri) dan Noriah Kasnon (dua dari kiri) pada majlis Karnival Komuniti Hijau di Melaka, semalam
MELAKA 12 Jun - Penubuhan projek Centre for Education, Training and Research in Renewable Energy and Energy Efficiency (CETREE) sejak tahun 2000 adalah bagi membantu kerajaan negeri merealisasikan Negeri Bandar Teknologi Hijau menjelang 2020.Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, ia membantu pihaknya meningkatkan pendidikan dan latihan kepada masyarakat terutama golongan pelajar terhadap kesedaran teknologi hijau.
Beliau berucap merasmikan Karnival Komuniti Hijau peringkat negeri di Dataran Sungai Melaka yang turut dihadiri Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau, Datuk Noriah Kasnon di sini, hari ini.Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Rahman.
Universiti Sains Malaysia (USM) dilantik sebagai badan yang melaksana aktiviti CETREE dengan menawarkan ruang pejabat, fasiliti latihan dan kakitangan yang pakar mengikut kepakaran tertentu.Antara kemudahan itu termasuk menyediakan Unit Pameran Bergerak yang mempamerkan kaedah bahan api yang digunakan dan peralatan serta perkakasan 'hands on'.
Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri menggariskan lima Teras Strategik Pelan Induk Teknologi Hijau ke arah mencapai sasaran negeri bandar teknologi hijau menjelang 2020.Jelas beliau, lima teras itu termasuk mengukuhkan kerangka institusi, menyediakan persekitaran pembangunan teknologi hijau yang kondusif dan memperkukuh pembangunan modal insan.