Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

CETREE, CGSS, USM PERKASA BAKAT GLOBAL DALAM PENDIDIKAN TENAGA LESTARI MENERUSI PROGRAM TILTING FUTURES

USM, PULAU PINANG, 21 Mei 2026 – Penempatan pelajar antarabangsa melalui Tilting Futures – Take Action Lab: Environment & Sustainability Apprenticeship Programme di Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM membuktikan bahawa kolaborasi rentas negara mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat global dalam bidang pendidikan STEM, tenaga lestari dan kelestarian alam sekitar.

Program yang berlangsung dari 16 Mac hingga 21 Mei 2026 itu telah menghimpunkan hampir 40 orang pelajar antarabangsa daripada pelbagai negara. Bagi penempatan di CETREE, dua orang peserta Kohort 2 iaitu Constance Thikhoi Molapo dari negara Lesotho dan Vorn Vannleaksmey dari negara Kemboja telah mengikuti latihan industri berasaskan pengalaman yang menggabungkan penyelidikan, inovasi, pembangunan modul pendidikan serta pelaksanaan program komuniti.

Sepanjang penempatan tersebut, kedua-dua pelajar telah diberi tanggungjawab membangunkan Modul Pertandingan STEM International Solar Car Race and Challenge bagi peringkat sekolah menengah. Melalui projek ini, mereka bukan sahaja mempelajari teori berkaitan tenaga suria, malah menguasai kemahiran teknikal dalam menghasilkan sebuah kereta solar bermula daripada proses pematerian (soldering), pemotongan papan litar, penyusunan panel solar yang optimum, pemasangan komponen elektronik sehingga pengujian prestasi kereta solar. Pendekatan pembelajaran secara hands-on ini membolehkan peserta memahami secara menyeluruh bagaimana teknologi tenaga boleh baharu diaplikasikan dalam pendidikan STEM bagi melahirkan generasi muda yang kreatif, inovatif dan berupaya menyelesaikan cabaran dunia sebenar.

Selain penglibatan dalam pembangunan modul, kedua-dua pelajar turut menyertai pelaksanaan Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2): "Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna Dalam Kalangan Warga Sekolah" dengan turun padang bersama sekretariat CETREE bagi melaksanakan aktiviti pendidikan kelestarian di sekolah-sekolah. Melalui penglibatan secara langsung bersama murid dan guru, mereka berkongsi pengetahuan mengenai pencemaran plastik, amalan 5R, ekonomi kitaran serta kepentingan perubahan tingkah laku dalam mengurangkan penggunaan plastik sekali guna. Pengalaman ini bukan sahaja memperkukuhkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan mereka, malah memberi perspektif baharu mengenai pelaksanaan pendidikan kelestarian dalam konteks masyarakat Malaysia.

Kemuncak program berlangsung pada hari terakhir penempatan apabila kedua-dua pelajar membentangkan laporan refleksi mengenai pengalaman, kemahiran yang diperoleh serta cadangan penambahbaikan bagi memperkukuhkan pelaksanaan program-program antarabangsa di CETREE pada masa hadapan. Pembentangan tersebut dihadiri oleh seluruh Sekretariat CETREE. Turut hadir ialah Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik Kanan CETREE, CGSS, USM yang menzahirkan penghargaan atas komitmen serta kesungguhan kedua-dua pelajar sepanjang mengikuti program tersebut.

"CETREE sentiasa komited menyediakan platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang menggabungkan penyelidikan, inovasi, pendidikan STEM dan penglibatan komuniti. Kehadiran pelajar antarabangsa seperti Constance dan Vorn bukan sahaja memperkayakan perkongsian ilmu antara budaya, malah membuka ruang kepada pembentukan jaringan kerjasama global yang mampu memperkukuhkan agenda pembangunan lestari di peringkat antarabangsa," kata beliau.

Sementara itu, Constance Thikhoi Molapo menyifatkan pengalaman berada di CETREE sebagai sesuatu yang amat bermakna kerana beliau berpeluang mempelajari teknologi hijau melalui pendekatan praktikal yang sukar diperoleh di bilik kuliah.

"Saya bukan sahaja mempelajari aspek teknikal dalam membangunkan Solar Car, malah memahami bagaimana pendidikan boleh digunakan sebagai medium untuk mengubah tingkah laku masyarakat terhadap isu kelestarian. Pengalaman ini akan saya bawa pulang ke negara saya sebagai inspirasi untuk melaksanakan program yang memberi manfaat kepada komuniti," katanya.

Bagi Vorn Vannleaksmey, peluang menyertai pelbagai program lapangan bersama CETREE telah membuka perspektif baharu mengenai kepentingan kerjasama antara universiti, sekolah dan komuniti dalam merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

"Pengalaman ini telah meningkatkan keyakinan saya untuk menjadi pemimpin muda yang mampu menyumbang kepada pembangunan mampan. Saya amat menghargai bimbingan yang diberikan oleh warga CETREE sepanjang tempoh penempatan ini," ujarnya.

Program Tilting Futures membuktikan bahawa penempatan industri bukan sekadar medium latihan profesional, bahkan menjadi platform pembangunan bakat global yang menghubungkan ilmu, inovasi dan tindakan sebenar dalam menangani cabaran perubahan iklim, tenaga lestari dan kelestarian alam sekitar. Melalui pendekatan ini, CETREE terus memperkukuhkan peranannya sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tenaga dan teknologi hijau yang berupaya melahirkan pemimpin masa depan bertaraf antarabangsa.

Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Sekretariat CETREE