Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

CGSS, USM x TZU CHI PAGAMO MEMACU KESEDARAN ALAM SEKITAR MELALUI E-SUKAN KALI KE-5 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2025

GEORGE TOWN, PULAU PINANG, 6 Oktober 2025 - Kejohanan USM CGSS x Tzu Chi PaGamO E-Sukan Piala Dunia Pendidikan Alam Sekitar 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang Kali Ke-5 telah melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang pada 4 Oktober 2025. Bertempat di The One Academy Hall, Tanjung Tokong, kejohanan edisi kelima ini berjaya menarik penyertaan seramai 267 peserta yang terdiri daripada murid sekolah rendah, murid sekolah menengah, dan masyarakat awam dari seluruh negeri Pulau Pinang

Apa yang menjadikan kejohanan ini istimewa ialah pendekatan yang dibawa. Berbeza dengan pertandingan tradisional, ia mengetengahkan platform pembelajaran gamifikasi dalam talian, Tzu Chi PaGamO, yang menggabungkan elemen permainan video dengan ilmu pengetahuan alam sekitar. Para peserta bukan sahaja berhibur, malah diasah dengan kemahiran berfikir secara strategik, membina kota maya, mengurus sumber, serta menyelesaikan tugasan kuiz berteraskan mesej pemeliharaan alam sekitar.

Sepanjang kejohanan, peserta diuji dengan 12 tema utama berkaitan kelestarian bumi, termasuk pengurusan sumber air, pencegahan bencana, pencemaran udara dan laut, amalan kitar semula, ekonomi pekeliling, perubahan iklim, penjimatan tenaga, makanan mesra alam, serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs). Kepelbagaian tema ini menjadikan pertandingan bukan sahaja menyeronokkan, malah padat dengan ilmu yang relevan dengan cabaran global masa kini.

Penganjuran kejohanan ini mempunyai objektif yang jelas. Pertama, meningkatkan minat murid terhadap isu alam sekitar melalui pendekatan interaktif dan kreatif. Kedua, memperkukuh pengetahuan serta kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga bumi. Selain itu, ia juga berfungsi sebagai platform mengeratkan hubungan antara murid, guru, dan ibu bapa, di samping menggalakkan penggunaan teknologi dalam pendidikan moden.

Kejohanan kali ini turut diserikan dengan kehadiran Yang Berusaha Cik Ooi Si Hoo, Pengarah Persatuan Merit Tzu Chi Malaysia, dan Yang Berusaha Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik CETREE merangkap wakil Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS). Dalam ucapannya, Cik Ooi menzahirkan kegembiraan terhadap peningkatan jumlah peserta berbanding tahun-tahun sebelumnya. Menurut beliau, penyertaan 267 orang pada tahun ini membuktikan bahawa pendekatan pendidikan berasaskan teknologi digital semakin diterima masyarakat.

Selain pertandingan, para tetamu turut berpeluang melawat pameran Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) yang dikendalikan oleh Tzu Chi Malaysia. Pameran ini berjaya menarik perhatian ibu bapa dan ahli keluarga yang hadir, sekali gus menambah nilai kepada penganjuran kejohanan. Kejohanan ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai organisasi dan tokoh korporat, antaranya Green Educator’s Workgroup (GREW), Swisspac Resources Sdn. Bhd., The Prestige Hotel, Masmeyer Foundation, San & Associates, OKS Group, ViTrox Foundation, serta Unitech QS Consultancy Sdn. Bhd. Sokongan padu pelbagai pihak ini membuktikan bahawa usaha menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bersama. Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu Kategori A (Sekolah Rendah), Kategori B (Sekolah Menengah) dan Kategori C (Terbuka). Pemenang kejohanan kali ini dianugerahkan kepada 10 peserta terbaik bagi kategori A dan B manakala 3 Peserta terbaik bagi kategori C dianugerahi hadiah wang tunai dan cenderamata.

Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah dan sesi bergambar kenang-kenangan. Lebih bermakna, peserta cemerlang, iaitu 50 peserta bagi setiap kategori A dan B berserta 10 peserta kategori C telah dipilih untuk mewakili negeri Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada 25hb Oktober 2025 di Dewan Utama Pelajar, Universiti Sains Malaysia. Kejohanan peringkat kebangsaan ini terdiri daripada negeri Pulau Pinang, Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Secara keseluruhannya, kejohanan ini berjaya mencapai objektifnya dalam mendidik generasi muda tentang kepentingan memelihara alam sekitar melalui pendekatan baharu yang kreatif. Gabungan teknologi, hiburan dan pendidikan membuktikan bahawa proses pembelajaran boleh dilakukan dengan menyeronokkan, sekali gus melahirkan masyarakat yang lebih peka terhadap kelestarian bumi.

SDG 4, SDG 7, SDG 12 & SDG 13

Teks / Foto : Syafiq Saifullah Azmi