Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

DARI DATA KE TINDAKAN: PELAJAR ANTARABANGSA PERKUKUH KELESTARIAN DAN MOBILITI HIJAU DI CETREE USM

USM, PULAU PINANG, 6 Ogos 2026 – Komitmen Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM dalam memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa terus diperkasakan menerusi penyertaan dalam Tilting Futures – Take Action Lab: Environment & Sustainability Apprenticeship Programme Kohort 3 yang berlangsung dari 6 Julai hingga 6 Ogos 2026. Program antarabangsa tersebut telah menghimpunkan seramai 36 orang pelajar dari pelbagai negara termasuk Peru, Mexico, Belanda, Rwanda, Slovakia, Uruguay serta beberapa negara lain bagi menjalani latihan berasaskan pengalaman dalam bidang alam sekitar, kelestarian dan pembangunan mampan. Bagi penempatan di CETREE, dua orang pelajar antarabangsa iaitu Gupta Ayesha dari India dan Mach Felix Mayen David dari Sudan Selatan telah dipilih untuk mengikuti latihan industri yang memfokuskan kepada pemantauan program, pelaporan, komunikasi kelestarian serta pembangunan inovasi digital bagi menyokong pelaksanaan program pendidikan alam sekitar.

Sepanjang tempoh penempatan, kedua-dua pelajar telah memainkan peranan signifikan dalam projek Pemantauan, Penilaian, Pelaporan dan Sokongan Komunikasi Kelestarian bagi Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2): "Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna Dalam Kalangan Warga Sekolah." Penglibatan ini memberi peluang kepada mereka untuk menguasai proses pemantauan dan penilaian pelaksanaan program secara menyeluruh, termasuk analisis data, penyediaan laporan impak serta pembangunan bahan komunikasi kelestarian. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan mereka dalam pengurusan program berasaskan data, malah menyokong usaha membudayakan amalan lestari di sekolah-sekolah menengah seluruh negeri Perak ke arah merealisasikan pengurangan penggunaan plastik sekali guna secara berkesan.

Selain itu, kedua-dua pelajar turut membangunkan sebuah platform digital berasaskan Google Sites bagi menyokong pengurusan Perkhidmatan Sewaan E-Bikes CETREE yang beroperasi di Bangunan Toray, Universiti Sains Malaysia. Platform ini dibangunkan sebagai medium sehenti yang menyediakan maklumat mengenai lokasi basikal elektrik, prosedur penggunaan, syarat penyewaan, panduan keselamatan, borang tempahan serta maklumat berkaitan inisiatif mobiliti hijau yang dilaksanakan oleh CETREE.

Pembangunan aplikasi digital ini bukan sahaja memudahkan warga kampus mendapatkan akses kepada perkhidmatan E-Bikes, malah menyokong usaha universiti dalam menggalakkan penggunaan pengangkutan rendah karbon, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau serta memperkukuhkan amalan mobiliti lestari dalam kalangan warga kampus. Program diakhiri dengan sesi pembentangan hasil pembelajaran yang memberi peluang kepada kedua-dua pelajar berkongsi pengalaman, kemahiran yang diperoleh serta cadangan penambahbaikan bagi memperkukuhkan pelaksanaan program latihan industri antarabangsa di CETREE pada masa hadapan. Pembentangan tersebut telah dihadiri oleh seluruh Sekretariat CETREE.

Turut hadir menyampaikan amanat dan penghargaan ialah Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik Kanan CETREE, CGSS, USM yang menekankan bahawa penglibatan pelajar antarabangsa merupakan salah satu platform penting dalam memperluaskan jaringan kerjasama akademik serta memperkukuh perkongsian ilmu di peringkat global. "Penempatan pelajar antarabangsa di CETREE bukan sekadar memberi pengalaman pembelajaran kepada peserta, malah turut menyumbang idea baharu, perspektif global dan inovasi yang mampu memperkukuhkan pelaksanaan program pendidikan kelestarian serta transformasi digital di universiti," ujar beliau.

Sementara itu, Gupta Ayesha menyifatkan pengalaman di CETREE sebagai peluang berharga untuk memahami bagaimana pendekatan pemantauan, penilaian dan komunikasi kelestarian dilaksanakan dalam sesebuah program berskala besar yang melibatkan sekolah-sekolah di Malaysia. "Saya berpeluang melihat bagaimana data digunakan untuk menilai impak sesuatu program dan bagaimana komunikasi yang berkesan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu kelestarian. Pengalaman ini memberi nilai tambah yang besar kepada pembangunan profesional saya," katanya.

Bagi Mach Felix Mayen David, penglibatan dalam pembangunan platform digital E-Bikes membuka ruang untuk menggabungkan teknologi digital dengan agenda pembangunan mampan. "Melalui projek ini saya belajar bahawa penyelesaian digital yang mudah digunakan mampu menggalakkan lebih ramai pengguna memilih pengangkutan hijau. Saya berharap pengalaman ini dapat diaplikasikan di negara saya bagi menyokong pembangunan bandar yang lebih lestari," katanya.

Penyertaan CETREE dalam Program Tilting Futures terus membuktikan peranannya sebagai pusat kecemerlangan yang bukan sahaja memperkasakan pendidikan tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga dan teknologi hijau, malah menjadi hab pembelajaran antarabangsa yang menghubungkan penyelidikan, inovasi digital, kelestarian serta pembangunan bakat global. Inisiatif ini selari dengan aspirasi Universiti Sains Malaysia untuk memperkukuhkan jaringan antarabangsa dan menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDGs) melalui pendidikan, inovasi dan penglibatan komuniti.

Teks / Foto : Syafiq Saifullah Azmi