Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

DARI LOKAL KE GLOBAL: KUNJUNG BANTU TUNAS HIJAU PERKAYA PERKONGSIAN ILMU ANTARABANGSA DI BATU KURAU

BATU KURAU, PERAK, 8 April 2026 – Usaha memperkasa pendidikan kelestarian terus diperkukuh melalui pelaksanaan Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2) yang berlangsung dengan penuh komitmen dan dedikasi. Di bawah penyelarasan Organisasi Tunas Hijau serta pemantauan Pegawai Program merangkap Eksekutif Tunas Hijau, Puan Suhairiza Suhaimi dan Cik Farah Amira Zainudin, program ini kini melibatkan penyertaan 103 buah sekolah di seluruh negeri Perak. Pada 7 April 2026, satu sesi Kunjung Bantu dan Perkongsian Ilmu telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Kamaruddin, Batu Kurau. Ketibaan delegasi disambut mesra oleh Yang Berusaha Encik Hafizi Osman, Guru Penolong Kanan Kokurikulum, bersama barisan Komander dan Ejen Tunas Hijau sekolah tersebut. Dalam ucapan aluannya, beliau merakamkan penghargaan atas kesudian pihak penganjur turun padang memberikan bimbingan secara langsung kepada warga sekolah.

Sesi kunjungan ini memberi tumpuan kepada dua tugasan utama yang dirangka khusus untuk membimbing, menyokong dan memudahcara pelaksanaan peranan Komander serta Ejen Tunas Hijau. Penekanan diberikan terhadap kefahaman pelaksanaan misi di bawah Operasi Beta, selaras dengan objektif utama program yang menekankan pemerkasaan kepimpinan pelajar, pembinaan nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar serta penglibatan menyeluruh warga sekolah. Puan Suhairiza turut memperincikan pelaksanaan misi yang perlu digalas oleh para ejen, sambil menegaskan kepentingan kolaborasi antara guru, Anggota Kumpulan Pelaksana, pengusaha kantin dan pasukan pembersihan dalam menjayakan Operasi Beta secara sistematik dan berkesan. Selain itu, aspek pengemaskinian data ejen turut diberi perhatian bagi memastikan kelancaran proses pensijilan serta penilaian Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) di peringkat negeri.

Menariknya, sesi ini turut diserikan dengan perkongsian ilmu antarabangsa oleh fasilitator CETREE, CGSS yang juga merupakan pelajar program Tilting Future, iaitu Cik Constance Thikhoi Molapo dari Lesotho dan Vorn Vannleaksmey dari Kemboja. Kedua-dua fasilitator berkongsi amalan terbaik berkaitan pengurangan penggunaan plastik sekali guna di negara masing-masing, sekali gus membuka perspektif global kepada para peserta. Tidak hanya tertumpu kepada teori, program ini turut menampilkan aktiviti hands-on bersama Ejen Tunas Hijau SMK Dato’ Kamaruddin yang memberi pendedahan praktikal berkaitan konsep 5R. Pendekatan interaktif ini berjaya meningkatkan kefahaman serta kesedaran pelajar terhadap amalan kelestarian dalam kehidupan seharian.

Sebagai penutup, sesi fotografi diadakan bagi merakam detik bermakna sepanjang program berlangsung. Lebih daripada sekadar pelaksanaan aktiviti, Program Tunas Hijau menjadi wahana penting dalam membentuk generasi pelajar yang berilmu, berdaya kepimpinan dan berjiwa lestari. Setiap misi yang digalas bukan sahaja mengasah kemahiran, malah menyemai nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar yang kian mencabar.

Diharapkan sesi Kunjung Bantu dan Perkongsian Ilmu ini terus menyuntik inspirasi dan semangat baharu kepada Komander serta Ejen Tunas Hijau SMK Dato’ Kamaruddin untuk terus melangkah cemerlang, melengkapkan setiap misi dengan penuh dedikasi, sekali gus mengangkat peranan mereka sebagai agen perubahan dalam merealisasikan kelestarian bumi untuk generasi akan datang.

Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Sekretariat Organisasi Tunas Hijau