Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

DARIPADA KESEDARAN KE TINDAKAN: SMK DATO’ SAGOR PERJUANG USAHA KURANGKAN PLASTIK SEKALI GUNA

LANGKAP, PERAK, 10 Oktober 2025 – Dalam usaha memperkukuh kesedaran alam sekitar dan membudayakan amalan hijau dalam kalangan murid-murid sekolah, Centre for Education, Training and Research in Renewable Energy, Energy Efficiency & Green Technology (CETREE), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia dan Yayasan Hasanah, telah mengadakan lawatan rasmi ke SMK Dato’ Sagor, Langkap. Lawatan ini diadakan bagi menyampaikan taklimat serta sesi perkongsian ilmu di bawah Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2) (PSTHF3-Perak Siri 2).

Hadir sama dalam sesi berkenaan diketuai oleh CIk Suhairiza Suhaimi dan Cik Farah Amira Zainudin sebagai Eksekutif PSTHF3-Perak Siri 2. Manakala Encik Mohd Rodzi Abd. Razak, dan Encik Khoo Jia Jie, yang mewakili sekretariat PSTHF3-Perak Siri 2. Kehadiran delegasi ini bukan sekadar sebagai penganjur, tetapi juga sebagai tenaga penggerak utama dalam menyokong sekolah-sekolah terlibat melalui bimbingan dan perkongsian ilmu lestari.

Program ini turut mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 30 orang sebagai ejen-ejen dan komander yang terdiri daripada guru, murid, dan barisan pentadbir sekolah. Turut hadir Yang Berusaha Encik Mat Rosli Yeop Zainuddin, Penolong Kanan Kokurikulum, SMK Dato' Sagor bersama dua guru komander Tunas Hijau sekolah, Puan Norfatiha Mohd Hayati dan Puan Suraini Sulaiman.

Sesi dimulakan dengan pengenalan mengenai peranan CETREE sebagai peneraju dalam pendidikan tenaga boleh baharu dan teknologi hijau di Malaysia. Taklimat diteruskan dengan perkongsian ilmu daripada Eksekutif Tunas Hijau, yang menekankan kepentingan melibatkan pelajar dalam aktiviti berkonsepkan kelestarian dan pengurangan plastik sekali guna. Melalui sesi ini, pelajar diperkenalkan dengan konsep 5R – Refuse, Reduce, Reuse, Repurpose, dan Recycle, sebagai asas kepada gaya hidup hijau yang boleh diamalkan di peringkat sekolah dan komuniti.

Cik Suhairiza turut memperincikan pelbagai aktiviti yang akan dijalankan di bawah program ini, termasuk pertandingan dan projek kesedaran plastik, bertujuan memperkukuh pemahaman pelajar terhadap isu pencemaran plastik. Sesi tersebut turut diserikan dengan tayangan video dokumentari kejayaan program-program terdahulu yang dijalankan oleh CETREE dan Tunas Hijau di sekolah-sekolah lain yang terlibat dalam program tersebut

Selain memberi pengetahuan, kehadiran barisan Eksekutif Tunas Hijau juga membantu pihak sekolah memahami proses pelaksanaan program dengan lebih menyeluruh, termasuk cara mengisi dokumentasi dan laporan aktiviti yang diperlukan. Pendekatan ini bukan sahaja memberi sokongan teknikal, tetapi juga membina semangat kolaboratif antara pihak sekolah dan organisasi penganjur. Majlis diakhiri dengan ucapan penutup daripada Encik Mat Rosli bin Yeop Zainuddin, yang mengucapkan penghargaan kepada pihak CETREE dan Tunas Hijau atas usaha mereka menyokong sekolah dalam perjalanan ke arah sekolah hijau. Beliau turut menyeru murid-murid agar terus menjadi ejen perubahan yang aktif dalam menjaga kelestarian alam sekitar.

Lawatan ini berjaya menyemai kesedaran baharu dalam kalangan warga SMK Dato’ Sagor. Dengan ilmu, inspirasi dan sokongan langsung daripada CETREE dan Tunas Hijau, sekolah ini kini lebih bersedia untuk melangkah ke arah komuniti pendidikan yang bebas plastik dan berdaya lestari.

Teks / Foto : Khoo Jia Jie