Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

DEBAT GENERASI MADANI KEBANGSAAN 2025 BUKTI KEJAYAAN KERJASAMA STRATEGIK UNIVERSITI SAINS MALAYSIA DAN JABATAN PENDIDIKAN NEGERI PULAU PINANG

USM PULAU PINANG, 11 September 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat sejarah apabila buat julung kalinya menjadi lokasi utama penganjuran Pertandingan Debat Generasi Madani Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2025, yang menghimpunkan kontinjen sekolah menengah dari seluruh negara. Pertandingan berprestij ini berlangsung selama tiga hari dua malam dengan sokongan padu Centre for Global Sustainability Studies (CGSS), USM sebagai rakan strategik utama, serta kerjasama erat Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Selain menyediakan venue pertandingan, USM turut menawarkan kemudahan penginapan yang selesa untuk semua kontinjen yang bertanding. Sebanyak 16 negeri menyertai pertandingan ini, dengan setiap kontinjen diwakili lima orang murid dan seorang guru pembimbing. Pertandingan berlangsung penuh semangat apabila setiap kontinjen ditentukan melalui cabutan undi untuk mewakili pihak kerajaan atau pembangkang. Antara usul yang dibahaskan termasuklah E-Sukan Wajar Diiktiraf Sebagai Sukan Rasmi Sekolah, Kitar Semula Perlu Dijadikan Subjek Teras, Kesejahteraan Mental Memperkasakan Pendidikan Negara dan Lantikan Warden Tentera Solusi Isu Buli. Pertembungan idea antara para pendebat bukan sahaja menguji keberanian dan kematangan berfikir, malah melatih mereka berhujah dengan fakta yang kukuh, berfikir secara kritis serta menyampaikan hujah dengan penuh keyakinan.

Panel hakim yang dilantik terdiri daripada guru-guru profesional seluruh Malaysia, sekali gus memastikan pertandingan diadili secara adil, telus dan berwibawa. Penglibatan guru-guru ini juga melambangkan pengiktirafan terhadap peranan pendidik dalam melahirkan generasi pendebat yang mampu menjadi pemimpin masa depan negara. Sebagai pengisian tambahan, Centre for Education and Training on Renewable Energy, Energy Efficiency and Green Technology (CETREE), CGSS, USM turut diberikan mandat oleh JPNPP untuk mengendalikan Bengkel Literasi Tenaga dan Teknologi Hijau. Sesi perkongsian ilmu ini diketuai oleh Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik CETREE merangkap Penyelidik CGSS, yang menekankan topik utama seperti Kecekapan Tenaga, Tenaga Boleh Baharu dan Teknologi Hijau. Perkongsian tersebut disambut baik dengan interaksi aktif peserta yang mengajukan soalan serta pandangan, memperlihatkan kesungguhan mereka untuk memahami isu-isu kelestarian tenaga.

 

Selain itu, CETREE juga mengendalikan aktiviti hand's-on yang berbentuk eksplorasi Teknologi Hijau seperti Celik Unit Pameran Bergerak Teknologi Hijau, Jenis-Jenis Solar, Jenis-Jenis Mentol dan Cuba Jaya Ecobrick. Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta mengalami pembelajaran secara praktikal, diakhiri dengan sesi refleksi yang dikendalikan oleh Encik Syafiq Saifullah Azmi, Ketua Sekretariat CETREE. Sesi refleksi tersebut memberi ruang kepada murid menilai pengalaman yang diperoleh serta merancang perkongsian ilmu di sekolah dan komuniti masing-masing. Majlis penutup bengkel turut disempurnakan dengan penyampaian cenderahati kepada pemenang aktiviti hand's-on oleh Dr. Mohd Sukri Shafie, diiringi oleh Encik Sugumaran A/L M. Kathrasan, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Kokurikulum), JPNPP.

Kemuncak program diserikan dengan Pertandingan Debat Generasi Madani Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung pada malam 10 September 2025 di The Tamarra by Irama Dining, Georgetown, Pulau Pinang. Majlis gilang-gemilang ini turut dihadiri oleh tetamu kehormat termasuk YAB Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Berusaha Profesor Dr. Azlan Amran, Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM; Yang Berusaha Encik Ahmad Haridan Hj. Mohamed, Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, KPM, Yang Berusaha Encik Mohamad Said Ibrahim, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, mewakili Pengarah Pendidikan JPN Pulau Pinang serta Yang Berusaha Ts. Khoo Boo Woi, Ketua Pegawai Eksekutif Tech Dome Penang.

Turut hadir ialah pegawai kanan JPNPP, wakil Pejabat Pendidikan Daerah, pengurusan CGSS dan CETREE, serta agensi-agensi kolaboratif lain yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan penganjuran ini. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memperkukuh budaya debat, literasi tenaga dan agenda kelestarian di peringkat kebangsaan.

Secara keseluruhannya, Pertandingan Debat Generasi Madani 2025 telah membuktikan bahawa debat bukan sekadar sebuah pertandingan intelektual, tetapi juga platform pembangunan modal insan yang menyatukan pendidikan dan kelestarian. Program berskala kebangsaan ini berjaya melahirkan generasi muda yang berani bersuara, bijak berhujah, berilmu, serta prihatin terhadap masa depan negara. Dengan sinergi antara KPM, JPNPP, USM, CGSS dan CETREE, pertandingan ini menjadi titik tolak penting dalam membina generasi Madani yang berwawasan dan berdaya saing, ke arah Malaysia yang lebih mampan.

Teks : Syafiq Saifullah Azmi

Foto : Sekretariat CETREE / Sekretariat Pertandingan Debat