Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

“FESTIVAL IDEA PUTRAJAYA 2025: MEMACU INOVASI DAN KEPIMPINAN PENDIDIKAN TINGGI ASEAN MELALUI PROGRAM ASHELF 2025 ”

PUTRAJAYA, 6 November 2025 – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sekali lagi mengangkat aspirasi ilmu dan inovasi negara melalui penganjuran Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025, yang berlangsung dari 4 hingga 8 November 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Mengangkat tema ‘MADANI: Melakar Masa Depan, Merealisasikan Idea’, festival edisi kedua ini diteruskan sebagai platform nasional untuk merakyatkan idea, memperkasa ekosistem pendidikan tinggi, serta membentuk masyarakat berfikiran maju dan berpaksikan ilmu. Festival ini menampilkan empat kluster utama yang memberi impak besar kepada pengembangan pendidikan tinggi negara. Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS) menampilkan titah diraja, forum, sidang selari, sesi FOI Talk, Higher Education Institutions Industry Summit (HEIS), serta sesi bedah buku Telaah, yang membincangkan isu semasa, dasar, dan masa depan pendidikan tinggi. Sementara itu, MyIDEAS Connect menjadi wadah bagi pameran penyelidikan dan inovasi, perkhidmatan agensi, karnival kerjaya, serta pelbagai kolaborasi berimpak tinggi seperti MoU, MoA, dan LoI, selain pelancaran produk baharu. Program ini turut menampilkan FOI Run dan beberapa Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Tinggi.

Global Higher Education Summit & Showcase menyediakan platform antarabangsa yang menghimpunkan pemimpin pendidikan tinggi serantau dan global melalui sesi Higher Education Ministers Roundtable Meeting & Forum, Global Higher Education Forum (GHEF @ FOI), ASEAN Higher Education Leadership Forum (ASHELF), dan Asian International Mobility for Students (AIMS). Kluster ini turut diserikan dengan persembahan khas Sounds of Malaysia@FOI. Manakala kluster keempat, Advanced TVET & Entrepreneurship, menampilkan pameran Advanced TVET, pembelajaran fleksibel, kursus keusahawanan, serta Bazar@FOI, bagi memperkasa tenaga kerja berkemahiran tinggi dan melahirkan lebih ramai usahawan muda.

Dalam usaha memperkukuh kepimpinan pendidikan tinggi ASEAN, Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) mewakili Universiti Sains Malaysia (USM), bersama CETREE sebagai sekretariat yang dilantik Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), telah menjayakan kluster ASEAN Higher Education Leadership Forum 2025 (ASHELF). Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei, Pengarah CGSS, dilantik sebagai Ketua Kluster Planetary Health bagi ASHELF 2025. Forum ini berlangsung pada 4 hingga 5 November 2025 di PICC, dianjurkan oleh AKEPT dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

ASHELF 2025 menghimpunkan pemimpin institusi pendidikan tinggi, pembuat dasar, ahli akademik, dan rakan industri dari seluruh ASEAN. Berteraskan kepimpinan yang berpandangan jauh, tangkas, inovatif, dan berdaya tahan, forum ini menjadi wadah untuk merangka semula masa depan pendidikan tinggi di rantau ini. Forum memberi tumpuan kepada enam bidang utama, iaitu Teaching & Learning, Research & Innovation, Young Academics, Planetary Health, Artificial Intelligence (AI), dan Technology & Vocational Education (TVET).

Dalam sesi forum Planetary Health, yang dipimpin oleh Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Japareng Lalung dari USM sebagai Moderator, forum menampilkan tiga penceramah dari tiga negara. Panel terdiri daripada Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai dari USM, Yang Dihormati Profesor Madya Dr. Pham Thi Hoa dari Vietnam National University, dan Yang Dihormati Profesor Mayda Dr. Dian Rosleine dari Bandung Institute of Technology, Indonesia. Pengisian kluster ini meliputi ucapan dasar setiap penceramah, sesi dialog interaktif bersama peserta, serta perbincangan mengenai Mengintegrasikan Planetary Health dalam Pembangunan Kepimpinan Pendidikan Tinggi dan Reka Bentuk Kurikulum. Forum diakhiri dengan sesi pergulungan dan bahas bersama Ketua Kluster, serta sesi bergambar kenangan bersama peserta.

Majlis penutup ASHELF 2025 menampilkan pembentangan pernyataan bersama ASHELF mengenai komitmen lanjut terhadap kepimpinan pendidikan tinggi ASEAN. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Berbahagia Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim, Pengarah di Sekretariat SEAMEO, dan penutupan disempurnakan oleh Yang Berusaha Prof. Dr. Harshita Aini Haroon, Pengarah AKEPT. Diharapkan hasil dan forum yang dilaksanakan melalui ASHELF 2025 akan terus menyokong pelaksanaan Peta Jalan Ruang Bersama 2026–2030, menjadikan pendidikan tinggi sebagai pemangkin utama pembangunan mampan, inovasi, dan daya saing di rantau ASEAN.

Teks / Foto : Syafiq Saifullah Azmi