Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

FIESTA RAKAN MUDA 2025 PERKASA INOVASI TENAGA DALAM KALANGAN MURID-MURID SEKOLAH MENENGAH NEGERI PULAU PINANG

BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG, 24 Julai 2025 – Pertandingan Reka Cipta Inovasi Tenaga Peringkat Negeri Pulau Pinang 2025 telah berjaya dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang melalui Unit Pembangunan Bakat Murid dengan kerjasama CETREE, CGSS, Universiti Sains Malaysia (USM), serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang. Pertandingan ini diadakan sempena Fiesta Rakan Muda 2025 bagi menggalakkan penyertaan pelajar sekolah menengah dalam bidang inovasi, khususnya berkaitan teknologi tenaga lestari.

Pertandingan ini telah berlangsung selama dua hari, dari 22 hingga 23 Julai 2025, melibatkan lima daerah utama di dalam Negeri Pulau Pinang dan Pusat Kokurikulum, Bukit Mertajam, Pulau Pinang sebagai lokasi pertandingan. Sebanyak 22 buah sekolah yang terpilih dalam menyertai pertandingan peringkat negeri di bawah kategori Pertandingan Reka Cipta Inovasi Tenaga. Antaranya seperti SMK Telok Kumbar, SMK Saujana Indah, SMK Mengkuang, SM Sains Kepala Batas, SMK Bukit Jambul, SMK Raja Tun Uda, SMK Tunku Abdul Rahman, SMK Pauh Jaya, SMK Bagan Jaya, SMJK Heng EE Cawangan Bayan Baru, SMK Pondok Upeh, SMK Sungai Acheh, SMK Permatang Pasir, SMK St. Mark, SMJK Phor Tay, SMK Sungai Ara, SMKA Syeikh Abdullah Fahim, SM Sains Tun Syed Sheikh Shahabudin, SMK Air Itam, SMK Seri Bayu, SMJK Jit Sin dan SM Teknik Tunku Abdul Rahman Putra. Pendekatan ini memberi peluang yang lebih luas kepada murid-murid sekolah menengah di seluruh negeri Pulau Pinang untuk menyertai pertandingan ini serta mempersembahkan hasil inovasi mereka dalam bidang tenaga, hasil penambahbaikan berdasarkan maklum balas penjurian di peringkat daerah.

Pertandingan bertemakan Tenaga Lestari ini merupakan inisiatif yang diperkenalkan hasil kerjasama antara Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Pertandingan ini dianjurkan oleh Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, Universiti Sains Malaysia (USM), serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang. Pertandingan ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan murid sekolah mengenai kepentingan tenaga lestari, di samping menggalakkan pemikiran kreatif dan inovatif dalam mencari penyelesaian berkaitan tenaga hijau. Melalui pelbagai aktiviti dan pertandingan yang dianjurkan, murid turut didedahkan kepada konsep penggunaan tenaga yang cekap dan mampan, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Majlis perasmian Fiesta Rakan Muda 2025 telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Gooi Zi Sen, EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang. Beliau turut diiringi oleh Yang Berusaha Encik Mu’azamir Haji Jili, Pengarah Cawangan Pembangunan Potensi, Bahagian Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara. Turut hadir ialah Yang Berusaha Encik Mozakir Buyong Mokhtar, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Yang Berusaha Tuan Mohamad Dziauddin Mat Saad, Timbalan Pengarah, Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah, Yang Berusaha Tuan Mohamad Said Ibrahim, Timbalan Pengarah, Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Yang Berusaha Cik Ong Ching Shi, Timbalan Pengurus Besar, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang.

Dengan tema “Inovasi Tenaga untuk Kelestarian Masa Hadapan”, pertandingan ini telah berjaya menggalakkan pelajar sekolah menengah untuk mengetengahkan idea-idea baharu dalam bidang Tenaga Boleh Baharu, Sistem Penjimatan Tenaga dan Teknologi Hijau. Inisiatif ini bertujuan memberi pendedahan kepada generasi muda tentang kepentingan inovasi dalam penggunaan tenaga yang lebih cekap dan mesra alam demi kesejahteraan masa hadapan. Sepanjang pertandingan berlangsung, para peserta bukan sahaja berpeluang mempersembahkan hasil reka cipta mereka kepada panel juri, malah turut mengikuti sesi perkongsian ilmu dan bimbingan teknikal yang disampaikan oleh pensyarah berpengalaman dalam bidang penyelidikan tenaga. Sesi ini telah membuka ruang kepada peserta untuk memperhalusi idea serta menambah baik inovasi masing-masing berdasarkan pandangan dan maklum balas daripada pakar.

Panel juri yang dilantik untuk menilai hasil reka cipta terdiri daripada barisan profesional berpengalaman, termasuk Dr. Mohd Sukri Shafie dari CETREE, CGSS, USM; Encik Mohd Affendy Chi’Nong dan Puan Masburah Mustafa dari Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim, Kedah. Kehadiran juri yang berwibawa ini bukan sahaja meningkatkan kredibiliti pertandingan, malah memberikan peluang kepada peserta untuk menerima maklum balas konstruktif dan panduan berharga dalam mempertingkatkan mutu inovasi mereka. Secara keseluruhannya, pertandingan ini telah berjaya memupuk bakat inovatif dalam kalangan pelajar sekolah menengah serta meningkatkan kesedaran mereka tentang kepentingan penggunaan tenaga secara cekap dan lestari. Melalui penganjuran program seumpama ini, generasi muda diharapkan akan lebih peka terhadap isu-isu tenaga yang semakin mendesak dan seterusnya mampu mencetuskan idea-idea kreatif yang memberi manfaat kepada masyarakat dan kelestarian alam sekitar.

Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Teknikal STEM JPN Pulau Pinang dan Sekretariat CETREE