GENERASI HIJAU DIPERKUKUH: KOMANDER & EJEN SMK TAN SRI ABDUL AZIZ DIBERI SUNTIKAN SEMANGAT BAHARU
LENGGONG, PERAK, 19 November 2025 – Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2) terus digerakkan dengan penuh komitmen oleh Organisasi Tunas Hijau yang diketuai oleh Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik CETREE, CGSS, USM merangkap Pengarah Program. Pada 18 November 2025, organisasi Tunas Hijau ini telah melaksanakan salah satu aktiviti penting iaitu Kunjung Bantu ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Abdul Aziz, Lenggong, Perak, selaras dengan pelaksanaan program yang melibatkan 103 buah sekolah di seluruh negeri Perak. Ketibaan rombongan disambut mesra oleh Pengetua SMK Tan Sri Abdul Aziz, Puan Hamidaton Suffiani, bersama barisan Komander dan Ejen Tunas Hijau sekolah tersebut. Program dimulakan dengan ucapan aluan Puan Hamidaton yang menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas kesediaan Organisasi Tunas Hijau hadir memberi bimbingan secara langsung.
Dalam ucapannya, Dr. Mohd Sukri menjelaskan bahawa kunjungan ini bertujuan membimbing, menyokong dan memudahcara urusan Komander serta Ejen Tunas Hijau dalam memahami keperluan misi di bawah Operasi Alpha. Beliau turut menekankan objektif utama Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2), iaitu pengukuhan kepimpinan, pemupukan nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar serta penglibatan holistik seluruh warga sekolah. Sesi diteruskan dengan penerangan terperinci oleh Cik Farah Amira Zainudin, Eksekutif Tunas Hijau, mengenai misi-misi yang perlu disempurnakan oleh ejen sekolah. Beliau menegaskan kepentingan menggerakkan seluruh warga sekolah—antaranya guru, Anggota Kumpulan Pelaksana Sekolah, kontraktor kantin dan pasukan pembersihan—agar Operasi Alpha dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan. Komander turut dinasihatkan supaya memastikan kemas kini data ejen dilakukan dengan tepat kerana maklumat tersebut akan digunakan dalam proses pemberian sijil serta pemarkahan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) peringkat negeri.
Majlis diakhiri dengan penyampaian lencana (badge) senior kepada ejen-ejen Tunas Hijau serta Encik Osman Said, Komander yang telah berjaya menamatkan semua misi dalam Operasi Alpha. Penyampaian ini bukan sahaja sebagai bentuk penghargaan, tetapi juga simbol komitmen, daya usaha dan kemampuan mereka untuk melangkah ke fasa yang lebih mencabar. Sesi bergambar turut diadakan sebagai kenangan dan bukti rasmi pelaksanaan kunjung bantu tersebut. Program Tunas Hijau bukan sekadar menuntut tindakan, tetapi membentuk karakter. Setiap misi yang disempurnakan adalah latihan kepimpinan; setiap tugasan merupakan amanah untuk masa depan bumi. Semangat, disiplin dan ketekunan adalah kunci kejayaan dalam meneruskan transformasi budaya kelestarian di sekolah. Semoga kunjungan ini menjadi pemangkin motivasi baharu kepada Komander dan Ejen Tunas Hijau SMK Tan Sri Abdul Aziz untuk lebih aktif, menutup jurang misi yang masih berbaki serta melengkapkan semua tugasan demi melayakkan diri menerima sijil penyertaan dan badge tahap seterusnya.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Suhairiza Suhaimi