GERIK JADI SAKSI: KUNJUNG BANTU TUNAS HIJAU PERKASA AKSI DAN AMANAH ALAM
GERIK, PERAK, 14 November 2025 - Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2) terus digerakkan dengan penuh komitmen oleh Organisasi Tunas Hijau yang diketuai oleh Encik Syafiq Saifullah Azmi, Ketua Sekretariat CETREE, CGSS, USM bersama barisan Eksekutif Tunas Hijau. Pada 13 November 2025, pasukan ini telah berjaya melaksanakan salah satu aktiviti penting iaitu Kunjung Bantu ke Sekolah Menengah Agama (SMA) Tan Sri Ghazali Jawi (SABK), Gerik, Perak, sebagai sebahagian daripada pelaksanaan program yang membabitkan 103 buah sekolah di seluruh negeri Perak. Rombongan disambut mesra oleh Encik Alias Ali, Pengetua SMA Tan Sri Ghazali Jawi, bersama Komander dan Ejen Tunas Hijau sekolah tersebut. Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Encik Alias yang menzahirkan rasa syukur atas kunjungan pihak Organisasi Tunas Hijau.
Dalam ucapannya, Yang Berusaha Encik Syafiq menjelaskan bahawa kunjungan ke sekolah bertujuan membimbing, menyokong dan memudahcara urusan Komander serta Ejen Tunas Hijau dalam memahami keperluan misi di bawah Operasi Alpha. Beliau turut menerangkan objektif utama Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2), iaitu pengukuhan kepimpinan, pemupukan tanggungjawab alam sekitar dan penyertaan holistik warga sekolah.
Seterusnya, Cik Suhairiza Suhaimi, Eksekutif Tunas Hijau, memberikan penerangan terperinci mengenai misi-misi yang perlu dilengkapkan oleh ejen-ejen sekolah. Beliau menekankan kepentingan menggerakkan seluruh warga sekolah—guru-guru, anggota kumpulan pelaksana sekolah, kontraktor kantin dan pembersihan—agar pelaksanaan Operasi Alpha dapat dilaksanakan secara menyeluruh. Turut dinasihatkan agar Komander mengemaskini maklumat ejen dengan tepat kerana data tersebut bakal digunakan dalam proses pemberian sijil dan pemarkahan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) peringkat Negeri.
Majlis diakhiri dengan penyampaian lencana (badge) senior kepada ejen-ejen Tunas Hijau yang telah berjaya menamatkan semua misi dalam Operasi Alpha. Penyampaian ini bukan sahaja sebagai bentuk penghargaan, malah menjadi simbol komitmen, semangat dan kemampuan mereka untuk terus bergerak ke fasa yang lebih mencabar. Sesi bergambar turut diadakan sebagai kenangan serta bukti pelaksanaan rasmi kunjung bantu tersebut.
Program Tunas Hijau tidak hanya menuntut tindakan, tetapi membentuk karakter. Setiap misi yang disempurnakan adalah latihan kepimpinan; setiap tugasan yang dilaksanakan ialah amanah untuk masa depan bumi. Teruskan usaha dengan disiplin dan komitmen, kerana kejayaan sebenar hadir kepada mereka yang berani memikul tanggungjawab serta konsisten dalam melaksanakan perubahan. Semoga kunjungan ini menjadi pemangkin semangat baharu kepada Komander dan Ejen Tunas Hijau SMA Tan Sri Ghazali Jawi untuk bergerak lebih aktif, menutup jurang misi yang tertunggak dan melengkapkan semua tugasan demi melayakkan diri menerima sijil penyertaan serta badge tahap seterusnya.
Teks / Foto : Sekretariat CETREE