IKRAR AWAM USM KE ARAH 100% TENAGA BOLEH BAHARU TAHUN 2025
Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), CGSS terus memperkukuh komitmen ke arah 100 peratus tenaga boleh baharu melalui pendidikan, inovasi, literasi tenaga dan jangkauan komuniti.
Komitmen ini diterjemahkan melalui Ikrar Awam USM ke arah 100 peratus tenaga boleh baharu yang disokong dengan pelbagai program untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran berkaitan tenaga bersih dalam kalangan pelajar, pendidik dan masyarakat. Pendekatan CETREE menjadikan tenaga boleh baharu bukan sekadar pengetahuan, tetapi sesuatu yang boleh diterokai dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
MEMBINA LITERASI TENAGA MELALUI PEMBELAJARAN INTERAKTIF
10 Januari 2025 | Sungai Petani, Kedah
Antara usaha yang dilaksanakan ialah Bengkel Teknikal Pemurnian dan Perancangan Kuiz Tenaga Lestari dan Fotografi Tenaga Peringkat Negeri Rintis 2025 pada 10 hingga 11 Januari 2025 di Sungai Petani, Kedah. Bengkel ini merangka pendekatan pendidikan tenaga yang lebih kreatif dan interaktif melalui kuiz serta fotografi tenaga.
Pendekatan ini membantu peserta mengenali penggunaan tenaga dalam kehidupan seharian serta memahami konsep tenaga solar, tenaga boleh baharu dan kecekapan tenaga. Secara tidak langsung, peserta didorong untuk membuat pilihan penggunaan tenaga yang lebih bijak dan bertanggungjawab.
KARNIVAL TENAGA LESTARI DAN STEM PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG 2025
30 Jun – 2 Julai 2025 | SMJK Heng Ee Cawangan Bayan Lepas, Pulau Pinang
Karnival ini menjadi platform jangkauan komuniti CETREE, CGSS, USM dalam memperluas kesedaran generasi muda terhadap tenaga lestari, kecekapan tenaga, teknologi hijau dan inovasi STEM. Pelbagai aktiviti ceramah, soal jawab, hands-on dan bengkel digital dilaksanakan bagi menghubungkan pembelajaran STEM dengan isu tenaga dan kelestarian alam sekitar.
Elemen pertandingan turut diperkenalkan bagi menggalakkan kreativiti dan inovasi peserta. Antaranya Solar Car Race, Kediaman Pintar Cekap Tenaga dan Poster Tenaga Generatif AI, yang memberi peluang kepada murid mengaplikasikan pengetahuan tenaga solar, kecekapan tenaga, teknologi pintar dan kecerdasan buatan.
Sambutan yang menggalakkan menyaksikan penyertaan 54 sekolah menengah dan 40 sekolah rendah dalam Solar Car Race, 16 pasukan dalam Kediaman Pintar Cekap Tenaga dan 50 penyertaan bagi Poster Tenaga Generatif AI. Penyertaan ini menunjukkan bahawa pendekatan yang menggabungkan tenaga, STEM, teknologi, kreativiti dan pertandingan mampu menarik minat murid untuk meneroka isu tenaga dengan lebih mendalam.
Karnival ini dirasmikan oleh Yang Berusaha Encik Mohamad Said Ibrahim, Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh pendidikan tenaga lestari dan STEM dalam kalangan generasi muda.
MEMPERKASA GENERASI MUDA SEBAGAI DUTA TENAGA BERSIH
22 Julai 2025 | Pusat Kokurikulum, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Momentum ini diteruskan melalui Fiesta Rakan Muda 2025: Perkasa Inovasi Tenaga dalam Kalangan Murid-Murid Sekolah Menengah Peringkat Negeri Pulau Pinang pada 22 hingga 23 Julai 2025 di Pusat Kokurikulum, Bukit Mertajam.
Dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Pejabat Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, program ini menggabungkan STEM, kreativiti, inovasi dan pendidikan tenaga melalui pendekatan yang santai serta berasaskan pengalaman. Peserta didedahkan kepada potensi tenaga boleh baharu, kepentingan kecekapan tenaga dan tindakan mudah untuk mengurangkan pembaziran tenaga. Pertandingan ini memberi peluang kepada murid meneroka isu sebenar berkaitan tenaga dan menghasilkan penyelesaian melalui STEM, kreativiti dan inovasi.
Melalui aktiviti reka cipta, murid berpeluang mengaplikasikan pengetahuan tentang tenaga boleh Baharu dan teknologi hijau bagi menghasilkan idea yang praktikal. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan, malah menggalakkan murid berfikir, mencipta, menguji dan membentangkan idea berkaitan masa depan tenaga. Murid turut digalakkan menjadi ejen perubahan di sekolah, rumah dan komuniti dengan berkongsi pengetahuan serta mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah. Program ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Gooi Zi Sen, EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.
MEMBAWA MESEJ TENAGA BOLEH BAHARU TERUS KE KOMUNITI
24 Oktober 2025 | Manjung, Perak
Kesedaran terhadap kepentingan tenaga boleh baharu terus diperkasakan dalam kalangan komuniti menerusi inisiatif yang digerakkan oleh Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Azlan Amran, Timbalan Naib Canselor, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM, di Manjung, Perak pada 24 hingga 25 Oktober 2025. Melibatkan penyertaan sekolah dan komuniti setempat di Pasar Malam Pasir Panjang, program ini menjadi wadah strategik dalam membawa ilmu, teknologi dan amalan tenaga lestari lebih dekat kepada masyarakat.
Melalui pendekatan yang menyentuh kehidupan seharian, komuniti didedahkan kepada potensi dan kepentingan tenaga boleh baharu sebagai antara pemacu utama ke arah masa depan yang lebih bersih, cekap dan rendah karbon. Inisiatif ini membuktikan bahawa peralihan kepada tenaga lestari bukan sekadar tanggungjawab sektor tertentu, tetapi menuntut penglibatan aktif seluruh komuniti dalam membudayakan penggunaan tenaga secara lebih bertanggungjawab demi kelestarian generasi masa hadapan.
Peserta didedahkan kepada tenaga boleh baharu, teknologi solar dan kecekapan tenaga melalui aktiviti interaktif, STEM, demonstrasi dan pembelajaran hands-on. Interaksi bersama komuniti turut memberi penekanan kepada amalan mudah seperti mengurangkan penggunaan elektrik yang tidak diperlukan dan mengamalkan gaya hidup lebih menjimatkan tenaga.
Pendekatan ini menjadikan pendidikan tenaga bukan sekadar penyampaian maklumat, tetapi satu usaha membina kefahaman dan menggalakkan perubahan tingkah laku. Ia turut menegaskan bahawa peralihan kepada tenaga bersih merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan penglibatan institusi pendidikan, agensi kerajaan, sekolah, keluarga dan komuniti.
DARIPADA KESEDARAN KEPADA TINDAKAN
Keseluruhan program yang dilaksanakan CETREE memperlihatkan pendekatan berterusan dalam memperkukuh literasi tenaga melalui ilmu, pengalaman, inovasi dan penglibatan komuniti. Daripada kuiz dan fotografi kepada reka cipta, demonstrasi teknologi, aktiviti STEM dan jangkauan komuniti, setiap program memberi peluang kepada peserta memahami kepentingan tenaga boleh baharu dalam membentuk masa depan yang lebih bersih dan lestari.
Lebih penting, usaha ini membina kefahaman bahawa peralihan tenaga bukan hanya tanggungjawab kerajaan, industri atau institusi pendidikan, tetapi memerlukan penyertaan seluruh masyarakat. Melalui pendidikan, pembangunan bakat, inovasi dan jangkauan komuniti, CETREE terus menjadi pemangkin dalam membudayakan tenaga bersih serta menyokong Ikrar Awam USM ke arah 100 peratus tenaga boleh baharu.
Daripada bilik darjah ke komuniti, daripada kesedaran kepada tindakan, CETREE terus membawa mesej bahawa masa depan tenaga bersih bermula dengan ilmu dan direalisasikan melalui usaha bersama.