JANGKAUAN KOMUNITI TEMPATAN UNTUK KECEKAPAN TENAGA DAN TENAGA BERSIH TAHUN 2025
USM melalui CETREE di bawah CGSS terus memperkasa literasi tenaga masyarakat menerusi pelbagai inisiatif jangkauan komuniti yang menekankan kesedaran, kefahaman dan amalan kecekapan tenaga. Pendekatan ini menghubungkan ilmu dengan kehidupan seharian melalui ceramah, aktiviti interaktif, bengkel, pengalaman hand's-on serta pendedahan kepada teknologi tenaga bersih dan inovasi hijau.
Inisiatif ini turut memberi fokus kepada generasi muda sebagai pemangkin perubahan dengan menggalakkan murid dan pelajar mengenal pasti pembaziran tenaga, meneroka penyelesaian serta mengamalkan penggunaan tenaga secara lebih berhemah. Pendidikan berasaskan pengalaman ini diharap dapat membawa amalan cekap tenaga dari sekolah ke rumah dan seterusnya ke komuniti.
KECEKAPAN TENAGA UNTUK MASA DEPAN: PENERAPAN STEM DALAM KEHIDUPAN HARIAN
30 April 2025 | Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pumpong, Alor Setar, Negeri Kedah
28 Mei 2025 | Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Ipoh, Negeri Perak
24-25 Oktober 2025 | Sekolah Kebangsaan Muhammad Saman, Manjung, Negeri Perak
26 Oktober 2025 | Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Islahiyah Addiniah, Manjung, Negeri Perak
28 Oktober 2025 | Islamic Science Demonstration School, Prince of Songkla University, Pattani, Thailand
Program ini merupakan salah satu inisiatif jangkauan komuniti CETREE, CGSS, USM bagi memperkukuh kesedaran kecekapan tenaga dalam kalangan murid dan warga sekolah. Program dilaksanakan secara interaktif bagi memastikan konsep kecekapan tenaga bukan sahaja difahami secara teori, malah dapat diterokai melalui pengalaman langsung.
Antara pengisian utama ialah ceramah dan soal jawab berkaitan kecekapan tenaga, yang memberi pendedahan tentang kepentingan penggunaan tenaga secara berhemah, pembaziran tenaga, kos elektrik dan kelestarian alam sekitar. Peserta turut menyertai aktiviti hand's-on Cekap Tenaga serta permainan Dam Gergasi Cekap Tenaga yang menjadikan pembelajaran lebih menarik dan menyeronokkan.
Selain itu, Bengkel Digital berkaitan Kecekapan Tenaga memperkenalkan penggunaan teknologi digital sebagai medium pembelajaran dan penyampaian mesej tenaga lestari. Gabungan ceramah, aktiviti praktikal, permainan dan teknologi digital mewujudkan pengalaman pembelajaran yang menyeluruh serta menggalakkan murid mengamalkan konsep kecekapan tenaga dalam kehidupan seharian.
MEMBINA KOMUNITI CELIK TENAGA, MENCETUS PERUBAHAN
Secara keseluruhannya, kedua-dua inisiatif ini memperlihatkan komitmen USM melalui CETREE, CGSS dalam menjadikan pendidikan kecekapan tenaga sebagai penghubung antara ilmu, komuniti dan tindakan. Pendekatan yang menggabungkan pendidikan, aktiviti hands-on, teknologi dan inovasi membantu membentuk generasi yang bukan sahaja celik STEM, tetapi turut memahami kepentingan penggunaan tenaga secara cekap dan lestari.
Kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak turut memperkukuh usaha memperluas pendidikan tenaga kepada generasi muda. Inisiatif ini selari dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta menyokong SDG 7 – Tenaga Mampu Milik dan Bersih dan SDG 13 – Tindakan Terhadap Iklim.
Melalui jangkauan daripada sekolah kepada komuniti, USM melalui CETREE, CGSS terus memainkan peranan sebagai pemangkin pembudayaan kecekapan tenaga demi membentuk masyarakat yang lebih celik tenaga, bijak membuat pilihan dan bersedia menyumbang kepada masa depan yang lebih bersih dan lestari.