JARINGAN KERJASAMA DALAM BIDANG TEKNOLOGI HIJAU BERSAMA KOLEJ MATRIKULASI PULAU PINANG
Kepala Batas, Pulau Pinang, 31 Januari 2020 – CETREE telah mengorak langkah pada tahun 2020 ini dalam merencanakan kesedaran Teknologi Hijau kepada seluruh sasaran masyarakat di Malaysia. Kali ini, delegasi daripada Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE) yang diketuai oleh Pengarah, Profesor Madya Dr. Mohd Wira bin Mohd Shafiei telah mengadakan perjumpaan bagi jaringan kerjasama dalam bidang Teknologi Hijau (TH) bersama Tuan Haji Rozaini bin Ahmad, Pengarah, Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP) bertempat di matrikulasi tersebut.
Kunjungan tersebut merupakan lawatan kerja dan jalinan kerjasama di antara CETREE dan matrikulasi yang terjalin setelah sekian lamanya bersama pensyarah-pensyarah matrikulasi berkaitan penghasilan modul-modul sekolah yang berkisarkan tajuk Teknologi Hijau. Turut sama dalam sesi lawatan kerja tersebut merupakan pegawai-pegawai CETREE bersama-sama pegawai daripada Jabatan Sains, Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.
Objektif utama lawatan tersebut adalah bertujuan bagi bekerjasama dalam meningkatkan pengetahuan tentang Teknologi Hijau dikalangan warga KMPP serta memahami peranan CETREE dalam pendidikan yang berkonsepkan Teknologi Hijau dalam kehidupan seharian. Selain itu, perjumpaan tersebut bersama Tuan Pengarah KMPP bagi membincangkan aktiviti-aktiviti berkaitan Teknologi Hijau yang ingin dilaksanakan oleh pihak KMPP pada tahun 2020. Di samping itu juga, lawatan tersebut dapat memperkaya pengalaman, ilmu pengetahuan mengenai pengurusan, pentadbiran, bertukar idea, kreativiti dan inovasi dalam pelbagai bidang diantara matrikulasi dan CETREE bagi jangka masa yang akan datang.
Dalam sesi lawatan kerja dan perkongsian bermakna tersebut, Tuan Haji Rozaini turut berkongsi kegembiraan dan hasrat KMPP dalam merealisasi hasrat beliau kepada seluruh warga KMPP dalam membudayakan amalan Teknologi Hijau. Tambahnya lagi, KMPP dengan rasa bersyukurnya kerana dapat bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan iaitu CETREE dalam memberikan pendedahan dan kesedaran awal kepada seluruh warga KMPP. Malah, beliau berhasrat akan membawa usul ini kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam menjadikan KMPP sebagai salah satu matrikulasi pertama di Malaysia yang akan menjadi ikutan dan ikon kepada matrikulasi – matrikulasi yang lain dalam memperkenalkan amalan dan kesedaran terhadap elemen-elemen Teknologi Hijau dalam kehidupan seharian.
Maklumbalas positif yang diterima daripada Tuan Pengarah KMPP dan pensyarah-pensyarah Jabatan Sains, KMPP amat menggalakkan dan berharap usaha murni serta kerjasama ini di antara Kolej Matrikulasi Pulau Pinang bersama CETREE dapat dilaksanakan dalam masa yang terdekat.
Teks / Foto : Syafiq Saifullah Azmi