JPN PERAK, CETREE DAN YHM PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK PROGRAM SEKOLAH TUNAS HIJAU
IPOH, PERAK, 8 Oktober 2026 – Delegasi Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM dan Yayasan Hijau Malaysia (YHM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN Perak) pada 7 Oktober 2026. Kunjungan ini bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama strategik serta merakamkan penghargaan atas sokongan JPN Perak terhadap pelaksanaan Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III di negeri Perak.
Delegasi tersebut diketuai oleh Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei, Penyelaras CETREE merangkap Pengarah CGSS, USM. Turut hadir ialah Puan Nor Hana Mohamad Rosli, Eksekutif Kanan YHM, Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Projek Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III (Siri 2) – Perak, serta pegawai Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum), JPN Perak dan Sekretariat Organisasi Tunas Hijau.
Kunjungan tersebut telah disambut oleh Pengarah JPN Perak, Yang Berusaha Tuan Zulkafli Mohamed Mokhtar, P.M.P., yang menzahirkan penghargaan atas pemilihan negeri Perak sebagai lokasi pelaksanaan Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III (Siri 2). Beliau turut menyambut baik penglibatan USM, khususnya CETREE, dalam menjayakan program berkenaan. Pengalaman beliau ketika berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, JPN Perak, semasa pelaksanaan Siri 1 turut mencerminkan kesinambungan kerjasama dalam memperkukuh pendidikan kelestarian alam sekitar di sekolah-sekolah negeri Perak.
Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III merupakan inisiatif di bawah YHM dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), dengan kerjasama JPN Perak, CETREE, CGSS, USM, serta mendapat sokongan Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan Malaysia. Program ini memberi tumpuan kepada pendidikan kelestarian alam sekitar, khususnya usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan membudayakan amalan pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab dalam kalangan warga sekolah. Sehubungan itu, kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan tinggi dan rakan pelaksana menjadi pemangkin penting dalam memastikan objektif program dapat dicapai secara berkesan dan berterusan.
Bagi Siri 1, program ini telah melibatkan 125 buah sekolah menengah dari 12 daerah di negeri Perak, dengan tempoh pelaksanaan dari Mac 2023 hingga Februari 2025. Pelaksanaan Siri 2 pula melibatkan 103 buah sekolah dan dijadualkan berakhir pada awal tahun 2027. Kesinambungan program ini mencerminkan komitmen berterusan semua pihak dalam memperkukuh pendidikan kelestarian serta menggalakkan perubahan amalan di peringkat sekolah melalui penglibatan murid, guru dan komuniti sekolah.
Pelaksanaan Siri 2 turut memperluas jangkauan program kepada sekolah-sekolah di kawasan luar bandar, berbeza dengan Siri 1 yang melibatkan sekolah-sekolah di kawasan bandar. Pendekatan ini membuka peluang kepada komuniti pendidikan di luar bandar untuk mendapat pendedahan dan melaksanakan inisiatif kelestarian alam sekitar, khususnya dalam usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna. Perluasan ini juga mencerminkan usaha untuk memastikan pendidikan kelestarian dapat dimanfaatkan oleh sekolah daripada pelbagai latar persekitaran, sekali gus menggalakkan penglibatan yang lebih menyeluruh dalam membentuk budaya sekolah lestari.
Dalam sesi pembentangan, Dr. Mohd Sukri Shafie merakamkan penghargaan kepada Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum), JPN Perak, khususnya Encik Mokhtar Shaari dan Puan Shakirah Rashid, atas komitmen dan kerjasama yang diberikan sepanjang pelaksanaan program. Sokongan unit tersebut dalam penyelarasan maklumat, urusan komunikasi dan penglibatan 103 buah sekolah telah membantu melancarkan pelaksanaan program di seluruh negeri Perak.
Sepanjang pelaksanaan Siri 2, sekolah-sekolah peserta telah merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna serta meningkatkan kesedaran warga sekolah terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar. Sekolah-sekolah yang menunjukkan prestasi cemerlang akan diberikan pengiktirafan dalam Majlis Akhir dan Penyampaian Anugerah Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III (Siri 2) – Perak yang dijadualkan berlangsung pada 4 November 2026 di Ipoh, Perak. Sehubungan itu, delegasi turut menjemput Pengarah JPN Perak untuk hadir sebagai tetamu kehormat bagi meraikan pencapaian sekolah-sekolah yang terlibat.
Kunjungan hormat ini diakhiri dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderahati kepada Pengarah JPN Perak sebagai tanda penghargaan atas sokongan serta kerjasama yang diberikan. Kerjasama strategik antara YHM, NRES, JPN Perak, CETREE, CGSS, USM, dengan sokongan Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan Malaysia, diharap dapat terus diperkukuh bagi memperluas pelaksanaan pendidikan kelestarian alam sekitar di sekolah. Usaha berterusan ini penting dalam membentuk generasi muda yang lebih prihatin, bertanggungjawab dan proaktif dalam mengurangkan penggunaan plastik sekali guna serta memelihara alam sekitar demi kelestarian masa hadapan.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Sekretariat Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III (Siri 2) – Perak