JUARA DENGAN JIWA HIJAU: SMK DATO’ PANGLIMA PERANG KIRI CIPTA KEJAYAAN DALAM OPERASI ALPHA
TAPAH, PERAK, 31 Oktober 2025 – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Panglima Perang Kiri terus membuktikan keunggulannya apabila dinobatkan sebagai Johan Operasi Alpha dalam Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2). Kejayaan ini mencerminkan kesungguhan dan komitmen tinggi seluruh warga sekolah dalam memupuk budaya cintakan alam sekitar serta mengamalkan gaya hidup lestari. Kunjungan Organisasi Tunas Hijau ke sekolah bukan sekadar majlis penyampaian hadiah, malah menjadi pemangkin semangat dan inspirasi baharu kepada seluruh warga sekolah untuk terus memperkukuh usaha dalam memelihara alam sekitar. Program ini turut menekankan kepentingan pengurangan penggunaan plastik sekali guna, yang menjadi antara cabaran utama dalam kelestarian alam. Melalui pelbagai aktiviti pendidikan dan inovasi hijau, warga SMK Dato’ Panglima Perang Kiri membuktikan bahawa perubahan besar bermula dengan tindakan kecil yang konsisten.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Yang Berusaha Puan Hajah Laili Nordaini Othman, Pengetua SMK Dato’ Panglima Perang Kiri. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen dan daya juang tinggi para pelajar serta guru yang tidak pernah berputus asa dalam menjayakan misi kelestarian sekolah. Beliau menegaskan bahawa walaupun sekolah ini mempunyai kurang daripada 400 orang murid dan terletak di kawasan luar bandar, semangat mereka setanding dengan sekolah besar lain. Katanya, kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat, dedikasi berterusan dan kesedaran mendalam tentang tanggungjawab menjaga bumi.
Seterusnya, ucapan penghargaan disampaikan oleh Yang Berusaha Encik Fauzi Salleh, Pegawai SiP+ Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batang Padang, yang hadir mewakili pihak pentadbiran daerah. Beliau memuji usaha sekolah ini sebagai contoh terbaik dalam mendidik generasi muda supaya peka terhadap isu pencemaran plastik dan berani menjadi ejen perubahan. Beliau turut menggalakkan agar semangat lestari yang ditonjolkan dapat dijadikan teladan serta disebarluaskan ke seluruh sekolah di daerah Batang Padang.
Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Yang Berusaha Encik Syafiq Saifullah Azmi, Ketua Sekretariat CETREE, CGSS, Universiti Sains Malaysia (USM). Dalam ucapannya, beliau memuji kesungguhan warga sekolah dalam melaksanakan inisiatif hijau dan menekankan bahawa perjuangan melawan penggunaan plastik sekali guna memerlukan kesedaran, keberanian dan komitmen berterusan. Beliau turut menyerahkan trofi kejuaraan dan sijil penghargaan sebagai simbol pengiktirafan atas kejayaan cemerlang sekolah tersebut.
Majlis diserikan lagi dengan persembahan pelajar sebagai “Ejen” Program Tunas Hijau, yang menonjolkan mesej kuat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar melalui kreativiti dan inovasi. Persembahan tersebut berjaya meniup semangat kepada hadirin untuk sama-sama mengamalkan gaya hidup bebas plastik dan lebih mesra alam. Turut diraikan ialah Komander Tunas Hijau sekolah, Encik Victor Manivel dan Encik Zairi Osman, atas kepimpinan dan bimbingan mereka yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan sekolah ini. Acara kemuncak diteruskan dengan lawatan ke Ruang Pameran Program Sekolah Tunas Hijau, yang menampilkan hasil ciptaan pelajar menggunakan ecobrick, termasuk model Menara Berkembar Petronas sebagai simbol kreativiti, kesedaran dan identiti nasional. Pameran ini membuktikan bahawa sisa plastik juga mampu ditukar menjadi hasil seni dan inovasi yang bernilai.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar kenangan yang melambangkan semangat perpaduan dan tekad seluruh warga sekolah untuk terus berjuang dalam melestarikan bumi hijau. Kejayaan SMK Dato’ Panglima Perang Kiri sebagai Johan Operasi Alpha bukan sahaja mengharumkan nama sekolah sebagai peneraju pendidikan alam sekitar, malah menjadi inspirasi kepada sekolah-sekolah lain untuk bersama-sama menjadikan Malaysia bebas daripada plastik sekali guna dan menuju masa depan yang lebih hijau, lestari dan berdaya tahan.
Teks / Foto : Khoo Jia Jie