KARNIVAL INOVASI STEM SMK SERI BINTANG UTARA, SEKOLAH KLUSTER KECEMERLANGAN
CHERAS, WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR, 7 April 2018 – Karnival Inovasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Sekolah Kluster Kecemerlangan merupakan satu program tahunan yang baru dijalankan anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bintang Utara.
Program tersebut melibatkan penyertaan seluruh warga sekolah, murid-murid, sekolah-sekolah jemputan serta persatuan ibu bapa SMKSBU dengan tujuan bagi mengcungkil bakat-bakat baru yang terpendam berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).Sepanjang program tersebut berlangsung, pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya ialah pameran projek inovasi murid-murid sekolah dan pertandingan yang bertemakan Teknologi Hijau kearah Green City.
Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE) juga telah diundang untuk mengambil bahagian dalam karnival tersebut. Antara yang telah dibawa adalah Unit Pameran Bergerak Teknologi Hijau CETREE yang menggunakan konsep Tenaga Solar sebagai sumber utama bagi menjana arus elektrik kepada peralatan-peralatan elektrik di dalam lori dan penggunaan minyak masak terpakai sebagai sumber bahan api alternatif bagi menggerakkan kenderaan tersebut. CETREE juga mempamerkan beberapa alatan kit hands on antaranya bertajuk kecekapan pemilihan lampu dalam penggunaan tenaga, bertujuan memberi pendedahan kepada para pengunjung tentang perbezaan jenis-jenis lampu, kuasa dan ketahanan kuasa penggunaannya. Pameran oleh pihak CETREE ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari para pengunjung yang hadir. Secara tidak langsung, pameran melalui unit pameran bergerak dan kit hands on yang dibawa telah berjaya memberi kesedaran dan kepentingan Teknologi Hijau, Kecekapan Tenaga dan Tenaga Boleh Baharu dalam kehidupan seharian masyarakat.
Sepanjang karnival itu berlangsung, turut menjadi tumpuan adalah gelagat dan reaksi kearah murid-murid yang mengambil bahagian serta guru pembimbing dalam setiap kategori pertandingan yang disertai mereka. Turut menjadi penyebab kerancakkan karnival tersebut adalah kerana sumbangan piala dan haiah-hadiah daripada persatuan ibu bapa (PIBG) SMKSBU yang menarik kepada murid-murid yang terlibat.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Mohd Hazwan Hafiz Abdul Halim