KARNIVAL INOVASI TEKNOLOGI HIJAU PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2017
KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2017 - Karnival Inovasi Teknologi Hijau Peringkat Kebangsaan 2017 yang telah diadakan pada 10 hingga 13 Oktober 2017 merupakan acara tahunan dan telah dilaksanakan sejak tahun 2016. Penganjuran karnival tersebut diterajui oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) melalui Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau) dengan kerjasama Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Acara ini disasarkan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia melalui penyertaan 7 pertandingan yang bertemakan Teknologi Hijau.
Karnival Inovasi Teknologi Hijau Peringkat Kebangsaan 2017 ini merupakan salah satu aktiviti bagi projek ‘Pembangunan Ilmu, Implementasi dan Aktiviti Kesedaran Teknologi Hijau Sekolah Menengah Merentasi Kurikulum & Kokurikulum bagi Pemantapan Pendidikan Lestari’. Secara tidak langsung, penganjuran karnival ini dapat memberi wadah penyebaran maklumat yang terbaik melalui pelbagai pendekatan yang komprehensif bagi meningkatkan kesedaran Teknologi Hijau serta menjadi platform yang efektif dalam aplikasi Teknologi Hijau.
Karnival yang berlangsung selama 3 hari tersebut telah berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) & Malaysian Green Technology Corporation (MGTC). Penganjuran tersebut telah dihadiri kira-kira 471 orang yang terdiri dari pelajar, mentor, pengurus pasukan negeri, pegawai teknikal negeri dari enam belas buah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) seluruh Malaysia. Program ini juga turut mengundang penglibatan 20 orang hakim bagi 7 pertandingan dan 42 warga kerja yang terdiri daripada sekretariat dan fasilitator. Antara acara yang telah dipertandingkan adalah Green Cooker Challenge, Inovasi Tenaga Biojisim, Green Technology Show, Rekacipta Inovasi Teknologi Hijau, Rekabentuk Bandar Teknologi Hijau, Solar Vehicle Challenge, Xplorace dan Kuiz Teknologi Hijau.
Johan keseluruhan bagi Karnival Inovasi Teknologi Hijau Peringkat Kebangsaan 2017 telah dinobatkan kepada kontijen Negeri Terengganu Darul Iman. Kemeriahan Majlis Penutup Karnival Inovasi Teknologi Hijau Peringkat Kebangsaan 2017 diserikan lagi dengan kehadiran Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan beliau turut menyampaikan hadiah serta sijil kepada pemenang-pemenang bagi setiap pertandingan dalam karnival tersebut.
Teks : Maznah Mohamed Saipon / Syafiq Saifullah Azmi
Foto: Mohd Hazwan Abdul Halim / Mohd Raffi Rosmi / Sekretariat CETREE