KARNIVAL INOVASI TEKNOLOGI HIJAU PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2018
PULAI, 26 November 2018 - Karnival Inovasi Teknologi Hijau Peringkat Kebangsaan 2018 yang telah diadakan pada 20 hingga 23 November 2018 merupakan acara tahunan dan telah dilaksanakan sejak tahun 2016. Penganjuran karnival tersebut diterajui oleh Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE) dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).
Acara ini disasarkan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia melalui penyertaan 7 pertandingan yang bertemakan Teknologi Hijau. Karnival Inovasi Teknologi Hijau Peringkat Kebangsaan 2018 ini merupakan salah satu aktiviti bagi projek ‘Pembangunan Ilmu, Implementasi dan Aktiviti Kesedaran Teknologi Hijau Sekolah Menengah Merentasi Kurikulum & Kokurikulum bagi Pemantapan Pendidikan Lestari’.
Secara tidak langsung, penganjuran karnival ini dapat memberi wadah penyebaran maklumat yang terbaik melalui pelbagai pendekatan yang komprehensif bagi meningkatkan kesedaran Teknologi Hijau serta menjadi platform yang efektif dalam aplikasi Teknologi Hijau.
Karnival yang berlangsung selama 3 hari tersebut telah berlangsung di Pulai Springs Resort, Johor. Penganjuran tersebut telah dihadiri kira-kira 550 orang yang terdiri dari pelajar, mentor, pengurus pasukan negeri, pegawai teknikal negeri dari enam belas buah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) seluruh Malaysia.
Program ini juga turut mengundang penglibatan 19 orang hakim bagi 7 pertandingan dan 40 warga kerja yang terdiri daripada sekretariat dan fasilitator. Antara acara yang telah dipertandingkan adalah Green Cooker Challenge, Inovasi
Tenaga Biojisim, Green Technology Show, Rekacipta Inovasi Teknologi Hijau, Rekabentuk Bandar Teknologi Hijau, Solar Vehicle Challenge, Xplorace dan Kuiz Teknologi Hijau.
Johan keseluruhan bagi Karnival Inovasi Teknologi Hijau Peringkat Kebangsaan 2018 telah dinobatkan kepada kontijen Negeri Sabah.
Kemeriahan Majlis Penutup Karnival Inovasi Teknologi Hijau Peringkat Kebangsaan 2018 diserikan lagi dengan kehadiran Yang Berbahagia Datuk Badriyah Ab. Malek, Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Teknologi Hijaui Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan beliau turut menyampaikan hadiah, wang tunai serta sijil kepada pemenang-pemenang bagi setiap pertandingan dalam karnival tersebut.
Turut hadir adalah Profesor Dr. Haslan Abu Hassan, Pengarah Pusat Pemindahan Ilmu merangkap Penasihat CETREE, Encik Amin Abdullah, Ketua Pegawai Eksutif YaHijau dan Puan Anita Isa, Ketua Unit Penilaian Program, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Mohd Hazwan Abdul Halim / Akmal Izzuddin Halim / Sekretariat CETREE