KARNIVAL PENDIDIKAN SAINS & TEKNOLOGI PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2015
KOTA KINABALU, SABAH, 20 Oktober 2015 - Karnival Pendidikan Sains dan Teknologi Peringkat Kebangsaan 2015 ( KaSTEK ) telah diadakan pada 16-19 Oktober 2015, di Sekolah Menengah Lok Yuk Kota Kinabalu, Sabah. Sebanyak 8 kategori yang dipertandingkan kali ini bagi merebut gelaran sebagai johan peringkat kebangsaan tahun 2015 bagi setiap pertandingan yang telah disertai. Antara pertandingan – pertandingan yang dilaksanakan adalah seperti Solar Car, Efficiency Energy Cooking, EUREKA Renewable Energy & Energy Efficiency Beach House, Solar Boat, Water Rocket, Science Story Telling, Saintis Muda Menengah dan Saintis Muda Rendah.
KaSTEK merupakan acara tahunan di bawah Program Penggalakan Sains dan Teknologi (PPST) yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama beberapa agensi. CETREE> telah melakukan kerjasama bersama Kementerian Pendidikan Malaysia dengan menganjurkan beberapa pertandingan seperti Solar Car, Efficiency Energy Cooking, EUREKA Renewable Energy & Energy Efficiency Beach House dan Solar Boat.
KaSTEK ini bertujuan untuk memberi kesedaran dan memupuk minat dikalangan para pelajar terhadap bidang sains dan Teknologi Hijau. Di samping itu, program ini turut menggalakkan mereka untuk bersaing secara sihat menerusi aktiviti - aktiviti yang dipertandingkan. Penganjuran pertandingan yang melibatkan pendidikan sains dan Teknologi Hijau dapat meningkatkan lagi kesedaran awam terhadap kepentingan Teknologi Hijau dan alam sekitar kepada para pelajar sekolah rendah dan menengah.
Tahun 2015 merupakan tahun yang mencabar kepada tuan rumah iaitu Jabatan Pendidikan Negeri Sabah daripada segi persediaan tempat tinggal yang menempatkan setiap kontinjen yang mewakili 16 buah negeri di Malaysia yang menyertainya pada tahun ini, persedian pengangkutan setiap kontinjen dan akhir sekali merupakan persediaan teknikal bagi setiap pertandingan yang dijalankan semasa KaSTEK 2015. Ini merupakan kali pertama negeri Sabah dipilih sebagai tuan rumah KaSTEK 2015. Walaubagaimanapun, syabas diucapkan kepada semua jawatankuasa teknikal dan KaSTEK negeri Sabah bagi setiap pertandingan kerana berjaya melaksanakannya dengan sempurna.
KaSTEK 2015 diserikan lagi dengan kehadiran YBHG. Datuk Dr. Amin Senin, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia tetamu Kehormat bagi menyampaikan hadiah kepada pemenang – pemenang dan sekaligus merasmikan penutupan KaSTEK 2015. Berikut merupakan keputusan pemenang – pemenang bagi pertandingan yang disertai oleh pelajar daripada 16 buah negeri seluruh Malaysia. Bagi acara pertandingan Solar Car telah dimenangi oleh peserta dari Negeri Sembilan, Efficiency Energy Cooking telah dimenangi oleh peserta dari Negeri Sarawak, EUREKA Renewable Energy & Energy Efficiency Beach House telah dimenangi oleh peserta dari Negeri Sabah, Solar Boat telah dimenangi oleh peserta dari Negeri Pahang, Saintis Muda Sekolah Rendah telah dimenangi oleh peserta dari Negeri Selangor, Saintis Muda Sekolah Menengah telah dimenangi oleh peserta dari Negeri Pahang, Science Storry Telling telah dimenangi oleh peserta dari Negeri Sembilan dan Water Rocket telah dimenangi oleh peserta dari Negeri Sembilan.