KARNIVAL PENDIDIKAN SAINS & TEKNOLOGI PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG 2017
BUKIT MERTAJAM, 11 Ogos 2017 - Karnival Pendidikan Sains & Teknologi (KaSTEK) peringkat negeri Pulau Pinang telah berlansung di Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang melibat penyertaan dikalangan murid sekolah menengah dan rendah seluruh negeri Pulau Pinang. Karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 8 – 10 Ogos 2017 telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada sekolah-sekolah yang bertanding. Program tahunan ini di bawah Program Penggalakan Sains dan Teknologi kelolaan Unit Sains & Teknologi, Unit Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.
Antara pengisian yang dijalankan terdiri dari pelbagai aktiviti bercorak pertandingan, pameran dan pertunjukan yang berkaitan Sains dan Teknologi. Program ini bertujuan memberi kesedaran dan memupuk minat di kalangan pelajar terhadap bidang Sains dan Teknologi. Selain itu karnival ini bertujuan memberi ruang kepada pelajar-pelajar untuk bersaing secara sihat melalui pertandingan-pertandingan yang akan menguji kemahiran dan kreativiti murid. Karnival ini juga merupakan satu medium bagi membawa murid – murid meneroka ilmu dalam semua bidang sains menerusi bengkel-bengkel sains serta pameran-pameran sains dari agensi-agensi berkaitan.
Berikut merupakan pertandingan-pertandingan yang dijalankan sepanjang karnival tersebut berlangsung. Bagi murid sekolah rendah adalah seperti Pertandingan Inovasi Sains & Kejuruteraan Piala Pengarah JPN Pulau Pinang, Pertandingan Saintis Muda, Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket, Bercerita Sains – B.Inggeris dan Pertandingan Maths Magic manakala bagi murid sekolah menengah adalah seperti Pertandingan Saintis Muda, Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket, Pertandingan Solar Vehicle Challenge, Pertandingan Green Cooker Challenge, Pertandingan Reka Bentuk Bandar Teknologi Hijau, Pertandingan Green Technology Show dan Pertandingan Inovasi Biojisim.
Di samping itu juga, pelbagai jemputan pempamer turut sama memeriahkan lagi karnival berkenaan. Antaranya ialah Unit Pameran Bergerak Teknologi Hijau CETREE, Pusat Sains Negara dan Jabatan Meteorologi Malaysia serta gerai-gerai Food Truck.
Majlis perasmian penutupan Karnival Pendidikan Sains & Teknologi (KaSTEK) peringkat negeri Pulau Pinang 2017 telah disampaikan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Tuan Shaari bin Osman. Turut hadir sama dalam majlis ini Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan & Kemanusian, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Pegawai Pendidikan Daerah Tengah dan Timbalan Pengarah IPGM, Kampus Tuanku Bainun serta pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi / Foto: Mohd Hazwan Abdul Halim