PERMATANG PAUH, PULAU PINANG, 16 SEPTEMBER 2023 - Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) peringkat Negeri Pulau Pinang tahun 2023 telah berjalan dengan lancarnya di mana Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Cawangan Pulau Pinang sebagai lokasi utama karnival berlangsung. Karnival ini berlangsung selama 4 hari, bermula pada 12hb-15hb September 2023. Karinival ini merupakan acara tahunan negeri di bawah Unit Pembangunan Bakat Murid-STEM, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.Karnival ini merupakan platform kepada murid-murid sekolah rendah dan menengah mengetengahkan bakat, kreativiti dan potensi mereka melalui pertandingan yang diadakan di peringkat negeri dan secara tidak langsung menyokong aktiviti STEM dan Sustainable Development Goals (SDG) yang dijalankan di seluruh sekolah di Malaysia. Pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang karnival ini berlangsung. Antaranya seperti STEM Talk, bengkel STEM, Young Inovator Challenge, Roket Air, Persembahan Drone & RC Jet, Techmentor PSC dan pameran dari pelbagai agensi yang menawarkan pelbagai ilmu, maklumat, aktiviti, persembahan dan promosi berkaitan STEM. Sambutan daripada sekolah-sekolah di sekitar dan ibu bapa yang hadir sama sepanjang 4 hari karnival ini berlangsung amat memberansangkan.
Kepakaran daripada Universiti Sains Malaysia (USM), tidak terkecuali dalam sama-sama membantu menjayakan karnival ini dengan jemputan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang sebagai hakim bagi 2 kategori iaitu pertandingan Young Innovators Fair dan Young STEMIST Conference. Antaranya ialah Profesor Madya Dr. Iskandar Shahri Mustafa, Pusat Pengajian Sains Fizik, Dr. Rosazlina Rusly, Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Dr. Mohd Sukri Shafie, CETREE, CGSS, USM dan En. Syafiq Saifullah Azmi, CETREE, CGSS, USM. Dalam masa yang sama, Unit Pameran Bergerak CETREE turut sama hadir sepanjang 4 hari karnival ini berlangsung bagi memberikan pendedahan dan pengalaman secara langsung melalui aktiviti hand's on berkaitan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau melalui pameran outdoor dan indoor.
Turut diserikan dengan kehadiran Yang Berusaha, Encik Mohamad Said Ibrahim, Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Murid), Jabatan Pendidikan Negeri P.Pinang (JPNPP) dan pegawai-pegawai daripada JPNPP bagi sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang, juri pertandingan dan pempamer yang telah menyertai karnival tersebut sekaligus merasmikan karnival STEM peringkat negeri Pulau Pinang tahun 2023.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Sekretariat CETREE