KARNIVAL SAINS, TEKNOLOGI, KEJURUTERAAN DAN MATEMATIK (STEM), PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2025
BAYAN LEPAS, PULAU PINANG, 3 Julai 2025 – Dalam usaha membina generasi masa depan yang celik teknologi, berfikiran kritis dan prihatin terhadap kelestarian alam sekitar, Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Peringkat Negeri Pulau Pinang 2025 telah berlangsung dengan jayanya di SMJK Heng Ee Cawangan Bayan Lepas, bermula 30 Jun hingga 2 Julai 2025. Berlandaskan aspirasi memperkasakan budaya STEM, karnival anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang melalui Unit Pembangunan Bakat Murid ini telah menghimpunkan ratusan murid dari seluruh negeri untuk menyertai pelbagai pertandingan yang menekankan elemen inovasi, penyelesaian masalah dan kemahiran abad ke-21.
Antara kategori - kategori pertandingan dibawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang yang dipertandingkan sepanjang karnival ini berlangsung ialah Innovators Of Tomorrow (Sains), Innovators Of Tomorrow (Teknologi), Innovators Of Tomorrow (Kejuruteraan), Innovators Of Tomorrow (Matematik), GAMI-CODE, Water Rocket Challenge dan STEM Talent Show. Lebih membanggakan, karnival tahun ini turut membawa mesej yang lebih besar — ke arah pembudayaan teknologi hijau dan tenaga lestari. Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu dan Kecekapan Tenaga (CETREE), CGSS, USM, tampil sebagai salah satu agensi rakan strategik dengan memperkenalkan pelbagai pertandingan bertemakan Tenaga Lestari seperti Solar Car Race, Kediaman Pintar Cekap Tenaga, serta Poster Generatif AI. Melalui pendekatan ini, murid bukan sahaja didedahkan kepada dunia sains dan teknologi, malah turut diajak berfikir tentang tanggungjawab mereka dalam melindungi dan memupuk kesedaran berkaitan tenaga. Sambutan terhadap pertandingan ini amat menggalakkan, dengan penyertaan 54 buah sekolah menengah dan 40 sekolah rendah dalam kategori Solar Car Race, manakala 16 pasukan menyertai pertandingan Kediaman Pintar dan 50 penyertaan diterima bagi Poster Generatif AI. Para peserta bukan sekadar berinovasi, tetapi turut belajar menilai kesan teknologi terhadap masa depan bumi.
Selain itu juga, pelaksanaan karnival ini turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai rakan strategik yang terdiri daripada agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, industri serta organisasi bukan kerajaan. Antara yang terlibat termasuklah Tech Dome, Walnut Education, Universiti Sains Malaysia (USM), UiTM Permatang Pauh, Politeknik Seberang Perai, Politeknik Sultanah Bahiyah, Politeknik Balik Pulau, Politeknik METRO Tasek Gelugor, CYTRON, SEAMEO RECSAM, AIMSITY, Penang STEM, Wawasan Open University (WOU), Kolej Komuniti Sungai Petani, Kolej Vokasional Seberang Perai, Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, IPG Kampus Pulau Pinang, EZ Cute Robots Sdn. Bhd., TAR UMT Pulau Pinang serta Institut Teknikal Jepun-Malaysia.
Bagi memastikan ketelusan dan kualiti penjurian pertandingan, CETREE, CGSS, USM telah mendapatkan khidmat pakar daripada Universiti Sains Malaysia dan Politeknik. Antara yang terlibat termasuklah Profesor Madya Dr. Iskandar Shahrim Mustafa (Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Sains Fizik), Dr. Khozema Ahmed Ali (Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Teknologi Industri), Profesor Madya Dr. Majid Khan Majahar Ali (Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Matematik), Profesor Madya Dr. Ng Theam Foo (Timbalan Pengarah, Pusat Kajian Kelestarian Global - CGSS), Ts. Dr. Segar Rajamanickam PJK. (Pensyarah Utama, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim Kedah) serta Dr. Mohd Sukri Shafie (Ketua Pegawai Penyelidik Kanan, CETREE, CGSS). Kepakaran mereka telah menyumbang kepada pengadilan yang adil dan berwibawa sepanjang pertandingan berlangsung.
Karnival ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat termasuk Yang Berusaha En. Mohamad Said Ibrahim, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid JPN Pulau Pinang; Ts. Azhan Abdullah, Ketua Penolong Pengarah Kanan (TVET); serta Puan Loh Soo Ping, Pengetua SMJK Heng Ee Cawangan Bayan Lepas. Turut hadir ialah wakil Lembaga Pengurusan Sekolah, pegawai-pegawai JPN Pulau Pinang, CETREE serta wakil agensi kolaboratif yang lain yang menjadi tulang belakang kejayaan karnival tesebut. Apa yang lebih penting, karnival ini telah berjaya menyuntik semangat baharu dalam kalangan murid bersemangat untuk berinovasi, mencipta, dan menyumbang kepada pembangunan negara melalui ilmu STEM yang lestari. Ia bukan sekadar pertandingan, tetapi sebuah platform membina harapan dan visi untuk masa depan yang mampan.
Karnival STEM Pulau Pinang 2025 telah membuktikan bahawa apabila pendidikan dan kelestarian bergabung, masa depan yang cerah bukan lagi sekadar angan-angan – ia sedang dibina, hari ini, oleh tangan-tangan muda yang bersemangat. Malah penganjuran Karnival STEM ini bukan sahaja berjaya membina semangat kolaborasi antara sekolah dan agensi luar, malah menjadi medium penting dalam menyemai minat murid terhadap STEM dan kelestarian alam sekitar. Usaha ini sejajar dengan aspirasi negara dalam melahirkan generasi yang celik teknologi, inovatif serta prihatin terhadap pembangunan mampan pada masa hadapan.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Sekretariat Teknikal STEM Pulau Pinang dan CETREE