CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

KARNIVAL STEM TS25 PERINGKAT KEBANGSAAN & SAMBUTAN 100 TAHUN SEKOLAH KEBANGSAAN SULTANAH ASMA

ALOR SETAR, KEDAH, 26 NOVEMBER 2022 – Sekolah Kebangsaan Sultanah Asma telah menganjurkan Karnival STEM TS25 Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2022 serta sambutan penubuhan Sekolah Kebangsaan Sulatanah Asma yang ke-100 tahun. Sempena sambutan tahun penubuhan sekolah itu, pihak sekolah turut mengadakan Hari Keusahawanan di perkarangan sekolah. Tujuan utama Karnival STEM ini dianjurkan adalah untuk memupuk pembudayaan sains bagi meningkatkan kesedaran murid tentang manfaat dari ilmu pengetahuan berkaitan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang memfokuskan dalam bidang Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM).

Ketibaan tetamu kehormat iaitu YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Kedah telah disambut dengan mesra oleh pancaragam sekolah. YAB Dato’ Seri telah merasmikan pelancaran Karnival STEM TS25 Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2022 serta sambutan ulangtahun tahun penubuhan Sekolah Kebangsaan Sultanah Asma kali ke-100. Sehubungan dengan itu, YAB Dato’ Seri juga telah menyampaikan bantuan tablet kepada dua orang murid hasil sumbangan daripada Tan Sri Mohd Ikmal Opat bin Abdullah dari Yayasan Royal Widad. Majlis diteruskan dengan sesi lawatan ke tapak pertandingan “Kedah Rocket Star Competition” untuk merasmikan perjalanan pertandingan dengan melancarkan roket air yang berparacut ke udara. Sesi lawatan YAB Dato’ Seri ke tapak lawatan diiringi oleh Yang Berusaha, Tuan Haji Rozaini bin Ahmad, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Yang Berusaha Encik Malek bin Abu Hassan, Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pengurusan Sekolah, Yang Berusaha Tuan Haji Ishak bin Zulkifli, Pegawai Pendidikan Daera, PPD Kotar Setar, Yang Berusaha Puan Zuraimi binti Mansor, Guru Besar SK Sultanah Asma dan tetamu-tetamu jemputan. Terdapat pelbagai agensi luar yang dijemput untuk dibuka pameran antaranya Universiti Utara Malaysia, Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Jabatan Penjara Malaysia, Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara, Lembaga Zakat Negeri Kedah dan Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM.

YAB Dato’ Seri mengakhiri sesi lawatan beliau di Unit Pameran Bergerak (UPB) CETREE. Beliau juga telah mendapat penerangan daripada pegawai CETREE yang bertugas berkenaan tujuan modul pameran yang disediakan di UPB serta sistem bahan api yang digunakan oleh UPB. Sistem bahan api yang digunakan ialah daripada minyak masak yang terpakai dan tenaga solar hasil daripada penggunaan panel solar yang terdapat di atas bumbung UPB. YAB Dato’ Seri berpeluang untuk memasukkan minyak masak terpakai ke tangki lori sebagai tanda menyokong usaha CETREE dalam meningkatkan kesedaran masyarakt berkenaan kepentingan penjagaan kelestarian alam dan penggunaan bahan tenaga boleh baharu.

Karnival ini diakhiri dengan diskusi Pembudayaan Digital di Sekolah yang melibatkan Encik Zulkifli Salleh, SISC+ Sains dan Matematik sebagai moderator, Dr. Ihsan Ismail, Timbalan Ketua Seketariat (Teknikal) Kementerian Pendidikan Malaysia, Profesor. Dr. Razamin Razali, School of Quantitative Sciences, Universiti Utara Malaysia dan Puan Emily Syafiqah Zamrod, guru SMK Alor Janggus. Majlis penutupan karnival dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datuk Dr. Mistirine Radin , Pengarah Bahagian Profesionalisme Guru Kementerian Pendidikan Malaysia. Pihak CETREE berharap agar kehadiran dan pembukaan UPB di SK Sultanah Asma dapat mencapai objektif pelancaran Karnival STEM TS25 Peringkat Kebangsaan yang telah dijayakan bagi tahun ini.

Teks : Muhammad Aiman Luqman Aizul Hisham
Foto : Syafiq Saifullah Azmi

ca1ca1ca1ca1

Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau, (CETREE), CGSS
Aras 5, Perpustakaan Hamzah Sendut, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia

Centre for Education and Training in Renewable Energy, Energy Efficiency & Green Technology (CETREE), CGSS
Level 5, Hamzah Sendut Library, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Penang, Malaysia

Tel : 604 - 653 6730 / 6707 | Fax : 604 – 6535273 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. | icon admin

  • Last Modified: Monday 28 October 2024.