KARNIVAL TENAGA LESTARI PERINGKAT NEGERI PERAK TAHUN 2024
SIMPANG PULAI, PERAK, 29 September 2024 – Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Pulai, Kampung Kepayang, Perak dipilih menjadi tuan rumah bagi Karnival Tenaga Lestari Peringkat Negeri Perak 2024 yang telah diadakan pada tarikh 28 September 2024. Karnival ini merupakan hasil kolaborasi antara Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Karnival ini dianjurkan oleh Yayasan Hijau Malaysia bersama Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM dengan kerjasama Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perak. Karnival ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran murid sekolah mengenai kepentingan tenaga lestari serta menggalakkan pemikiran kreatif dan inovatif dalam mencari solusi tenaga hijau. Melalui pelbagai aktiviti dan pertandingan yang dianjurkan, murid didedahkan kepada konsep penggunaan tenaga yang cekap dan mampan, sejajar dengan usaha kerajaan dalam mencapai matlamat pembangunan lestari.
Majlis perasmian karnival ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Tan Kar Hing, Ahli Parlimen Gopeng, yang turut diiringi oleh Yang Berhormat Puan Wong Chai Yi, ADUN Kawasan Simpang Pulai. Turut hadir ialah Yang Berusaha Ts. Dr. Nurul Muiz Murad, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijau Malaysia, Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei, Penyelaras CETREE, CGSS, Universiti Sains Malaysia, Yang Berusaha Dr. Nor Haslan Nor Zaman, Ketua Unit Pembangunan Bakat Murid Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, dan Yang Berusaha Encik Razak Malek Taharim, Pengetua SMK Simpang Pulai.
Bagi mencapai objektif memperkasakan kesedaran tenaga lestari dalam kalangan generasi muda, pelbagai pertandingan telah dianjurkan sepanjang karnival ini. Lima pertandingan dijalankan di bawah kelolaan PETRA, manakala tujuh pertandingan dikendalikan oleh KPM. Untuk kategori sekolah rendah, pertandingan seperti Kediaman Pintar Cekap Tenaga dan Solar Car Race memberikan peluang kepada murid-murid untuk meneroka konsep tenaga lestari melalui projek kreatif dan inovatif. Sementara itu, bagi kategori sekolah menengah, pertandingan seperti Reka Cipta Inovasi Tenaga, Poster Tenaga Generatif AI, dan Solar Car Race menguji pemahaman serta kebolehan pelajar dalam menghasilkan solusi tenaga lestari yang mampan.
Impak daripada karnival ini amat signifikan dalam membentuk generasi muda yang lebih peka terhadap isu tenaga lestari. Murid bukan sahaja memperoleh ilmu berkaitan teknologi hijau, malah turut memupuk nilai tanggungjawab dalam penggunaan tenaga secara efisien. Karnival ini juga berperanan dalam mempersiapkan murid untuk menjadi pemimpin masa depan yang mampu mengaplikasikan konsep tenaga lestari dalam kehidupan seharian serta pembangunan negara. Karnival ini diakhiri dengan penyampaian hadiah dan sijil penyertaan kepada para pemenang oleh tetamu kehormat. Majlis turut diserikan dengan sesi bergambar kenangan bersama peserta dan jemputan sebagai tanda penghargaan atas usaha dan komitmen semua pihak dalam merealisasikan tenaga lestari sebagai amalan dalam kehidupan seharian.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Farah Amira Zainudin / Muhammad Amirun Naim Mohd Shaiful Azmir
Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau, (CETREE), CGSS
Aras 5, Perpustakaan Hamzah Sendut, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Centre for Education and Training in Renewable Energy, Energy Efficiency & Green Technology (CETREE), CGSS
Level 5, Hamzah Sendut Library, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Penang, Malaysia
Tel : 604 - 653 6730 / 6707 | Fax : 604 – 6535273 | Email :