KEM SEMARAK DIGITAL SIRI 2 PERINGKAT NEGERI KEDAH TAHUN 2025
USM PULAU PINANG, 20 Jun 2025 – Kem Semarak Digital Siri 2 Peringkat Negeri Kedah telah berlangsung dengan jayanya pada 17 hingga 19 Jun 2025 bertempat di Bangunan TORAY, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Program ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu dan Kecekapan Tenaga (CETREE), CGSS, Universiti Sains Malaysia, serta EZ Cute Robots, Malaysia Techlympics, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
USM dipilih sebagai lokasi penganjuran atas reputasinya sebagai universiti berprestij yang diiktiraf sebagai kampus lestari, atau “universiti dalam taman”. Pemilihan ini memberikan peluang kepada para peserta untuk merasai suasana pembelajaran dalam persekitaran kampus yang kondusif dan menginspirasi, sekali gus menyokong hasrat untuk mengintegrasikan elemen akademik, teknologi dan kemahiran insaniah dalam ekosistem pendidikan yang holistik dan berimpak tinggi.
Seramai 67 orang murid yang terpilih mengambil bahagian dalam Kem Semarak Digital Siri 2 Peringkat Negeri Kedah tahun 2025. Kem ini menjadi medan utama dalam memperkasa agenda transformasi digital dalam pendidikan, khususnya dalam kalangan murid-murid sekolah di negeri Kedah. Ia bukan sekadar program kokurikulum, tetapi platform strategik untuk melahirkan generasi pelajar yang celik digital, berfikiran kreatif, inovatif, serta bersedia menyumbang kepada pembangunan negara berpaksikan sains, teknologi dan inovasi.
Sepanjang tiga hari pelaksanaan, peserta telah menyertai pelbagai modul dan aktiviti menarik seperti bengkel Digital Scratch, robotik, kecerdasan buatan (AI), Treasure Hunt, serta aktiviti kolaboratif berkumpulan. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan minat terhadap dunia digital, malah membina daya saing, semangat kerjasama dan kebolehan menyelesaikan masalah secara kritis dalam kalangan murid-murid. Penganjuran program seperti ini wajar diteruskan secara berterusan dan diperluaskan ke lebih banyak sekolah di seluruh negeri. Ia selari dengan aspirasi Dasar Pendidikan Digital Kebangsaan dan berpotensi mengangkat martabat pendidikan di negeri Kedah ke tahap yang lebih tinggi, setanding dengan standard pendidikan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Encik Awang Rosnadi Awang Rosli, Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid merangkap Ketua Sub Unit Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Dr. Mohd Shukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik Kanan CETREE, CGSS, USM; Cik Teoh Lydia, Ketua Pegawai Operasi EZ Cute Robots, rakan teknikal Malaysia Techlympics, MOSTI; pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Kedah; serta pegawai teknikal STEM Kedah dan CETREE, CGSS, USM.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Sekretariat Teknikal STEM Kedah dan CETREE