KEM ‘SMART ENERGY EDUCATION’ 2017 DAN MAJLIS PELANCARAN BUKU PANDUAN KECEKAPAN TENAGA DI SEKOLAH SERTA APLIKASI “MY EFFICIENT LIFE”
KOTA BHARU,7 September 2017– Majlis Perasmian Penutupan Program Kem ‘Smart Energy Education’ 2017 anjuran Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah berlangsung pada 7 September 2017 bertempat di Kompleks Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan. Majlis perasmian penutupan ini turut melibatkan pelancaran Buku Panduan Kecekapan Tenaga di Sekolah dan Aplikasi “My Efficient Life” yang dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datin Badriyah Binti Haji Abd Malek, Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga & Teknologi Hijau), Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau & Air (KeTTHA).
Objektif utama Program Kem ‘Smart Energy Education’ 2017 ini adalah bagi memupuk kesedaran dan amalan cekap tenaga di kalangan pelajar sekolah menengah dengan pendekatan baru menerusi pelbagai aktiviti interaktif secara “hands on” yang mampu memberi pendedahan kepada para pelajar bagi mempelajari ilmu berkaitan kecekapan tenaga dengan lebih berkesan. Di samping itu, program lanjutan berkaitan yang dijalankan di sekolah mampu mendekatkan para pelajar, guru-guru malah ibu bapa dalam membudayakan amalan kecekapan tenaga ini dalam kehidupan mereka seharian selain meningkatkan pemahaman tentang pengurusan permintaan tenaga, kecekapan tenaga dan juga pertumbuhan hijau yang menjadi agenda kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11(RMK-11).
Program Kem ‘Smart Energy Education’ 2017 ini secara keseluruhannya telah melibatkan 75 buah sekolah menengah di tiga negeri terpilih iaitu Pulau Pinang, Selangor & Kelantan yang terdiri daripada penyertaan seramai 300 orang murid dan 75 orang guru. Selain itu, seramai 40 orang murid daripada Sekolah Angkat Tenaga Nasional Berhad (TNB) negeri Kelantan turut terlibat di dalam aktiviti program yang telah dirancang khas. Program yang berbentuk pertandingan ini dijalankan selama sehari dan terdiri daripada pelbagai aktiviti interaktif secara hands on yang mampu memberi pendedahan kepada para peserta bagi mempelajari ilmu berkaitan kecekapan tenaga dan seterusnya mengaplikasikan ilmu yang diperolehi dalam kehidupan seharian.
Selain itu, majlis perasmian penutupan program ini turut diserikan dengan kehadiran Yang Berbahagia Dato’ Ir. Md Yuslan Md Yusof Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) Tenaga Nasional Berhad Negeri Kelantan, Yang Berusaha Profesor Dr. Haslan Abu Hassan, Penasihat Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), Yang Berusaha Pn. Rosmayuzi Musa, Timbalan Pengarah (Seksyen Tenaga), Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri serta Yang Berusaha Tuan Haji Abdullah Awang, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Pemangunan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan serta Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri yang terlibat.
Teks : Nurhanydahanim Abdul Halim / Muhammad Amsyar Muzamuddin /
Foto: Mohd Hazwan Abdul Halim