KEPIMPINAN EJEN DAN KOMANDER DIPERKASA: TUNAS HIJAU GERAKKAN TRANSFORMASI DI SUNGKAI
SUNGKAI, PERAK, 21 November 2025 – Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2) terus dilaksanakan dengan penuh komitmen oleh Organisasi Tunas Hijau di bawah pemerhatian Encik Syafiq Saifullah Azmi, Ketua Sekretariat CETREE, CGSS, USM merangkap Eksekutif Tunas Hijau. Pada 20 November 2025, pasukan ini telah mengadakan satu lagi sesi Kunjung Bantu, kali ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Keruit, Sungkai, sebagai sebahagian daripada pelaksanaan program yang merangkumi 103 buah sekolah di seluruh negeri Perak. Ketibaan rombongan telah disambut dengan penuh hormat oleh Pengetua SMK Sungai Keruit, Encik Amran Marhamdan, bersama Komander dan Ejen Tunas Hijau sekolah berkenaan. Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Encik Amran yang merakamkan penghargaan atas kesudian Organisasi Tunas Hijau hadir memberikan bimbingan dan sokongan secara langsung kepada pihak sekolah.
Dalam ucapan seterusnya, Encik Syafiq menegaskan bahawa sesi Kunjung Bantu ini bertujuan untuk membimbing, menyokong dan memudahcara pelaksanaan tugas oleh Komander dan Ejen Tunas Hijau, khususnya dalam memahami keperluan pelaksanaan misi di bawah Operasi Alpha. Beliau turut memperincikan objektif utama Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2), iaitu memperkasa kepimpinan pelajar, memupuk rasa tanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar serta menggalakkan penyertaan menyeluruh seluruh warga sekolah. Program diteruskan dengan taklimat oleh Cik Suhairiza Suhaimi, Eksekutif Tunas Hijau, yang menyampaikan penerangan terperinci mengenai misi-misi yang perlu dipenuhi oleh para ejen sekolah. Beliau menekankan pentingnya penglibatan menyeluruh semua pihak—termasuk guru, Anggota Kumpulan Pelaksana Sekolah, kontraktor kantin serta pasukan pembersihan—bagi memastikan Operasi Alpha dapat dilaksanakan secara sistematik, teratur dan berkesan. Para Komander turut diingatkan agar memastikan pengemaskinian data ejen dilakukan dengan tepat kerana maklumat tersebut akan digunakan untuk proses pemberian sijil serta penilaian Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) peringkat negeri.
Majlis disempurnakan dengan penyampaian lencana (badge) senior kepada para Ejen Tunas Hijau serta kepada Puan Hamiza Alias, Komander yang telah berjaya menamatkan kesemua misi di bawah Operasi Alpha. Penyampaian lencana tersebut bukan sahaja sebagai tanda penghargaan, bahkan sebagai pengiktirafan terhadap kesungguhan, ketabahan dan kemampuan mereka untuk meneruskan misi ke tahap yang lebih mencabar. Sesi fotografi turut diadakan sebagai dokumentasi rasmi bagi sesi Kunjung Bantu ini. Program Tunas Hijau bukan sekadar menuntut pelaksanaan tugasan, malah memberi ruang untuk pembentukan sahsiah dan kepimpinan pelajar. Setiap misi yang disempurnakan merupakan latihan membina karakter dan daya kepimpinan, manakala setiap amanah yang dilaksanakan mencerminkan komitmen terhadap kelestarian bumi. Diharapkan sesi Kunjung Bantu ini akan terus menyuntik motivasi kepada Komander dan Ejen Tunas Hijau SMK Sungai Keruit untuk mempertingkat usaha, melengkapkan misi yang masih berbaki serta memenuhi semua syarat bagi melayakkan diri menerima sijil penyertaan serta badge seterusnya.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Farah Amira Zainudin